Apa yang berlaku?
21 pelajar dan 2 guru sebuah sekolah tahfiz di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur maut dalam kebakaran yang berlaku menjelang subuh, hari ini. 14 pelajar berjaya menyelamatkan diri. Dua pelajar cedera dalam keadaan kritikal sementara dua pelajar dalam keadaan separuh kritikal, semuanya dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur. Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, kebakaran dipercayai bermula pukul 5.10 pagi dari tingkat atas bangunan dua tingkat itu.
Apa kata saksi?
Seorang pelajar yang terselamat memberitahu media kebakaran sudah meletus ketika dia terjaga, seperti kebiasaan setiap hari, lebih kurang pukul 5 pagi. Kata pelajar itu, dua rakannya merentap jeriji sehingga tercabut sebelum menyelamatkan diri melalui tingkap. Dia dan 12 yang lain kemudian menggelungsur melalui palung air hujan.
Seorang penduduk setempat antara yang terawal tiba di tempat kejadian mendengar mangsa menjerit meminta tolong tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana semua pintu sudah dijilat api. Beliau juga melihat beberapa pelajar terjun dan ada juga yang menggelungsur pada saluran paip untuk menyelamatkan diri.
Apa perkembangan siasatan?
Bomba percaya kebakaran berkemungkinan disebabkan oleh api daripada lingkaran ubat nyamuk atau litar pintas. Siasatan sedang dijalankan dan punca kebakaran dijangka diketahui dalam masa dua atau tiga hari.
Semua mayat ditemui rentung, dengan kebanyakannya berada dekat dengan tingkap. Menurut bomba, mangsa dipercayai terperangkap kerana jeriji tingkap tidak dapat dibuka.
Setakat ini, belum lagi ada mayat yang dikenal pasti. Proses pengecaman identiti mayat dijangka mengambil masa beberapa hari termasuk menggunakan kaedah pengecaman DNA, kata Kementerian Kesihatan.
Apa kata pihak pengurusan sekolah?
Sehingga petang ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak pengurusan sekolah. The Malaysian Insight difahamkan pihak pengurusan sekolah telah dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang kenyataan kepada media.
Apa maklumat tentang sekolah?
Bangunan sekolah tahfiz ini beroperasi tanpa sijil perakuan siap dan pematuhan daripada pihak berkuasa tempatan, kata Menteri Kesejahteraaan Bandar,Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Noh Omar.
Katanya, pihak pengurusan sekolah tahfiz ini sudah membuat permohonan tetapi maklumat yang diberikan dalam permohonan tersebut tidak sama dengan pelan asal bangunan.
Noh mendedahkan pelan asal bangunan itu sepatutnya berkonsep terbuka dengan dua tangga keselamatan dan tidak mempunyai dinding.
Timbalan Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat (Operasi), Soiman Jahid memberitahu media sesebuah bangunan seperti sekolah dan asrama tahfiz itu sepatutnya hanya boleh beroperasi selepas mendapat semua sijil kelulusan yang diperlukan.
Apa reaksi pelbagai pihak?
Aktivis hak kanak-kanak Dr Hartini Zainuddin mahu pihak berkuasa menyeret ke muka pengadilan mereka yang cuai dan lalai mengabaikan aspek keselamatan sehingga menyebabkan 23 pelajar dan guru tahfiz terbunuh.
Beliau bertanya kenapa sehingga hari ini masih ada lagi pihak yang tergamak membuka sekolah tahfiz tetapi tidak menghiraukan peraturan dan keselamatan pelajarnya.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Lee Lam Thye mahu kerajaan mewajibkan semua sekolah tahfiz berdaftar demi meningkatkan aspek keselamatannya.
Bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor pula menggesa kerajaan agar tidak ambil mudah membiarkan sekolah tahfiz haram beroperasi semahunya, sebaliknya menutup mana-mana sekolah tahfiz yang beroperasi tanpa kelulusan dan tidak berdaftar.
Penyanyi rock, Amy Search, yang diketahui membuka dan menguruskan sebuah sekolah tahfiz, menafikan sekolah tahfiz yang terbakar itu kepunyaaannya. Katanya, kekeliruan timbul kerana sekeping foto beliau dan pelajar sekolah tahfiz berkenaan tersebar melalui media sosial.
Rakyat Malaysia berkongsi simpati, merakamkan takziah dan melepaskan kemarahan di media sosial. Rata-ratanya mereka mahu tindakan tegas diambil dan berharap ia jadi pengajaran supaya tidak berulang pada masa akan datang.
Pelbagai pihak juga menyelar tindakan segelintir pengguna media sosial yang menyebarkan foto dan video keadaan mangsa yang rentung sebagai perbuatan tindak sensitif. – 14 September, 2017.
Komen