Warden tahfiz yang maut baru bersanding


Asila Jalil

Ahli keluarga pelajar dan warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah saling berpelukan, tidak dapat menahan kesedihan melihat bangunan yang terbakar awal pagi tadi hingga mengorbankan 23 orang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 September, 2017.

SEORANG warden yang maut dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah awal pagi tadi, baru saja melangsungkan majlis persandingannya dua minggu lalu.

Isteri mangsa, Noor Fatihah Osman dilihat menangis dan ditenangkan oleh ahli keluarga.

Asmah Yaacob, ibu saudara Noor Fatihah berkata anak saudaranya itu memaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 6 pagi tadi.

“Mereka bernikah pada Mei tetapi baru saja mengadakan majlis persandingan dua minggu lalu.

“Semoga mereka bertemu lagi di syurga,” kata Asmah.

Mangsa, Mohd Amirul Nizam, 25, dijangka dikebumikan di Kelantan.

“Dia orangnya baik. Sangat penyayang dan hormat orang tua,” kata Asmah.

Amirul bekerja sebagai warden di pusat tahfiz itu sejak awal tahun ini.

Isterinya yang berusia 23 tahun masih belajar di Universiti Sains Islam Malaysia di Bangi. Noor Fatihah bagaimanapun enggan bercakap dengan media.

Kebakaran itu bermula kira-kira jam 5.30 pagi tadi dan mengorbankan 23 orang murid dan warden. – 14 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen