SEKURANG-KURANGNYA 23 terbunuh dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Qu’ran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur awal hari ini.
Jabatan bomba dan penyelamat kemudian berkata angka kematian terbaharu adalah 23.
“Mereka mungkin terbunuh disebabkan menghidu asap tebal atau terperangkap dalam kebakaran itu. Saya rasa ini adalah salah satu kebakaran terburuk negara sejak 20 tahun lepas. Kami sedang menyiasat punca kebakaran,” kata Khirudin Drahman, pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur kepada AFP.
Menurut maklumat jabatan bomba, kebanyakan mangsa dipercayai berumur antara 13 dan 17 tahun. Enam mangsa berjaya diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur, tiga daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Anggota bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian pada jam 5:52 pagi menyifatkan kebakaran itu sebagai “marak”, dan ia berjaya dikawal dalam masa 25 minit.
15 mayat kemudiannya ditemui di tingkat tiga bangunan itu.
Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan di sekolah agama persendirian dan tidak berdaftar dan melaporkan sudah berlaku 211 kes kebakaran di institusi jenis itu sejak 2015.
Pada 16 Ogos lalu, 16 orang termasuk lapan murid terselamat dalam kebakaran yang juga berlaku awal pagi di sebuah sekolah tahfiz di Baling, Kedah.
Terdapat 519 sekolah tahfiz berdaftar diseluruh negara setakat April tahun ini, tetapi banyak lagi dipercayai beroperasi tanpa berdaftar dengan pihak berkuasa. – 14 September, 2017.
Komen