BELUM pun reda isu tarik diri daripada ratifikasi Statut Rom, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdepan satu lagi ujian dalam minggu terakhir sidang Dewan Rakyat.
Tanpa majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, PH terpaksa bergantung kepada ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk menyokong usul meminda Artikel 1 (2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status hak sama rata kedua-dua negeri Borneo itu dengan Semenanjung Malaysia.
Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi berkata Putrajaya memerlukan sokongan ahli Parlimen gabungan pemerintah Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mentadbir Sabah.
“Sokongan mereka diperlukan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak. Tetapi jika mereka tidak mahu, ini bukan penamat buat kita (untuk melakukan pembaharuan),” katanya kepada The Malaysian Insight.
PH masih komited dengan pembaharuan utama yang lain seperti meningkatkan semak dan imbang dalam proses perundangan dan kehakiman, menghapuskan rasuah dan memastikan ketelusan dalam kerajaan, katanya.
Pada masa ini, PH mempunyai 129 ahli Parlimen. Dengan bantuan sekutu dari Sabah iaitu Warisan dan Upko, PHmemiliki 139 sokongan, kurang sembilan daripada 148 kerusi yang diperlukan untuk meminta Perlembagaan.
Di Sarawak, GPS mempunyai 18 ahli Parlimen yang sudah menyatakan bantahan mereka terhadap rang undang-undang yang dibentangkan Putrajaya bagi meminda artikel itu.
Manakala ahli Parlimen Sabah dari PBS, PBRS, STAR dan PSB tidak komited kepada kerajaan PH. Dan daripada tiga lagi ahli Parlimen bebas, dua daripadanya asal Sabah (Anifah Aman dan Yamani Hafez Musa).
PH memerlukan kejayaan untuk meminda artikel itu memandangkan ia merupakan satu daripada langkah awal kerajaan Pakatan dalam menjanjikan untuk memenuhi manifesto bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai sekutu setara dengan Semenanjung Malaysia.
Sabah dan Sarawak rugi jika pindaan gagal
Penganalisis merasakan PH tidak akan rugi jika gagal meminta Artikel 1, kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.
“Segelintir pihak mungkin persoal penyelesaian PH untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak jika gagal meminda Artikel 1 (2). Tetapi Tetapi usaha untuk membuat perubahan ini menandakan komitmen kerajaan menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata dengan Tanah Melayu. “
Kedua-dua negeri itu akan rugi besar jika pindaan gagal dibuat, kata pensyarah sains politik itu.
“Jika pindaan gagal, ia akan jadi status quo untuk Sabah dan Sarawak. Ini bermaksud mereka sama seperti negeri lain walaupun terdapat perbezaan kecil,” kata Tunku Mohar.
“Mungkin ini merupakan cara Sabah dan Sarawak menguji Putrajaya untuk melihat sama ada kerajaan sedia beralah untuk meminda Artikel 1,” katanya.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata kedua-dua negara akan kehilangan peluang jika pindaan gagal pada sesi undian Selasa ini.
“Jika pindaan tidak lulus, kita perlu kekal sebagai negeri ke-12 dan ke-13, serta terlepas peluang untuk membetulkan keadaan memandangkan kita sudah berbincang lanjut mengenai usaha mengembalikan hak lain menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet bagi memulihkan hak Sabah dan Sarawak,” kata Yii. – 8 April, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen