Mahkamah Persekutuan putuskan permohonan tangguh kes Najib esok


Bede Hong

Najib Razak minggu lalu memfailkan permohonan kepada mahkamah tertinggi itu untuk kebenaran menyemak semula keputusannya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan perbicaraan itu ditangguh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 April, 2019.

MAHKAMAH Persekutuan esok akan memutuskan sekali lagi permohonan Najib Razak mahu menangguhkan perbicaraan pertuduhan jenayah yang dihadapinya.

Najib minggu lalu memfailkan permohonan kepada mahkamah tertinggi itu untuk kebenaran menyemak semula keputusannya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan perbicaraan itu ditangguh.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC Internatonal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan kes itu dimulakan semalam dan akan bersambung semula 15 April ini.  

Mahkamah Persekutuan esok akan dibarisi panel hakim yang lain akan memutuskan sama ada keputusan mahkamah yang sama minggu lalu boleh disemak semula, dan sekiranya boleh, apakah perbicaraan yang bermula semalam perlu ditangguh.

Tujuh hakim kanan memutuskan permohonan Najib minggu lalu, diketuai Ketua Hakim Negara Rochard Malanjum.

Panel tujuh hakim itu dianggotai Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Ramly Ali, Rohana Yusuf, Mohd Zawawi Salleh dan Tengku Maimun Tuan Mat.

Semasa perbicaraan hendak dimulakan semalam, barisan peguam bela Najib turut mengemukakan permohonan kes ditangguh atas alasan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri itu cacat.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagaimanapun menolak permohonan pasukan pembelaan kerana merasakan tiada alasan mereka membantah pertuduhan hanya sekarang, selepas ia dikenakan ke atas Najib pada Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Malanjum juga mengetuai barisan tujuh hakim mendengar tiga rayuan Najib berhubung permohonan interlokutari terkait dengan kes yang sama.
 
Panel itu hari ini mendengar hujah ketua peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah atas dua rayuan tersebut iaitu sekatan ke atas media dan orang awam daripada membincangkan kes serta penarikan balik sijil pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi.
 
Panel juga mendengar rayuan Peguam Negara Tommy Thomas membantah keputusan mahkamah untuk mengeluarkan surat pelantikan peguam kanan Sulaiman Abdullah sebagai timbalan pendakwa raya. – 4 April, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen