PERBICARAAN tujuh pertuduhan jenayah terhadap Najib Razak diteruskan petang ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan peguam bela untuk menangguhkan kes.
Pasukan pembelaan Najib yang diketuai Shafee Abdullah sebelum itu memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pihaknya sudah memfailkan usul mempertikaikan kesahihan pertuduhan terhadap bekas perdana menteri.
“Usul ini dikemukakan hari ini sementara pertuduhan sudah dibuat pada Ogos lepas.
“Tiada keperluan untuk mendengar usul itu sekarang. Perbicaraan boleh diteruskan sekarang,” kata hakim selepas lebih kurang 45 minit mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan.
Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pasukan pendakwaan sebelum itu memberitahu mahkamah pihaknya sedia untuk meneruskan kes.
Najib tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta jam 1.50 petang disambut kira-kira 20 penyokong.
Mereka mengadakan majlis bacaan doa ringkas sebelum Najib berjalan masuk ke mahkamah dengan iringan laungan “Hidup Najib!”
Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik SRC Internatonal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Thomas membantah permohonan Shafee dengan alasan ia taktik tertuduh mahu melengah-lengahkan perbicaraan terhadapnya, apatah lagi permohonan itu dibuat pada saat akhir.
Peguam negara memberitahu mahkamah pihaknya menerima usul penangguhan pukul 11.30 pagi tadi.
“Pertuduhan dikemukakan pada 4 Julai dan dipinda pada Ogos. Ada masa lapan bulan dan mereka tunggu sampai pagi ini untuk persoalkan pertuduhan. Proses perbicaraan ini sedang digugat.
“Sungguh lancang mereka mencabarnya pada 2.15 petang 4 April betul-betul sebelum saya membuat kenyataan membuka kes,” kata Thomas.
“Perbicaraan ini tidak boleh dilengahkan lagi,” tambah peguam V Sithambaram, yang juga menyertai pasukan pendakwaan, menyambung hujah pendakwaan menolak penangguhan.
Pada satu peringkat, ketika Shafee sekali bangun untuk mempertahankan permohonannya, Sithambaram memberitahu hakim: “Kalau berterusan macam ini, kami tidak boleh teruskan kes.”
Selain Thomas dan Sithambaram, pasukan pendakwaan juga disertai peguam kanan yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya Sulaiman Abdullah.
Mereka dibantu timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Budiman Lufti Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan.
Shafee mengetuai pasukan pembelaan yang dibantu peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Syahirah Hanapiah.
Pertuduhan terhadap Najib kebetulan dibicarakan genap 10 tahun beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia keenam pada 2009.
Perbicaraan Najib turut dipancarkan langsung ke sebuah kamar mahkamah lain di kompleks sama bagi membolehkan wartawan dan orang ramai mengikuti perjalanan kes, dan turut dihadiri Ketua Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang banyak membuat pendedahan awal skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Revin Kumar mewakili isteri Najib, Rosmah Mansor sebagai peguam pemerhati.
Selepas Thomas membuka kes pendakwaan, pihaknya kemudian memanggil saksi pertama, Mohd Akmanuddin Abdullah, 35, dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disoal siasat pada peringkat pemeriksaan utama. – 3 April, 2019
Komen