
PERBICARAAN tujuh pertuduhan jenayah terhadap Najib Razak akan disambung semula 15 April walaupun peguam bela bekas perdana menteri cuba memohon tarikh yang lebih lanjut.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata kes Najib harus diberikan keutamaan apabila peguam belanya memberitahu kes perlu ditangguhkan kerana mereka ada beberapa kes lain juga.
“Ada sedikit keutamaan dalam kes ini. Oleh itu saya tetapkan 15 April hingga 10 Mei untuk sambung semula. Ada notis yang memadai untuk hal-hal lain diatur. Kita akan mula 9 pagi,” kata hakim, menutup perbicaraan hari pertama.
Mahkamah sebelum itu memulakan perbicaraan selepas menolak permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan kes dengan alasan mahu mencabar kesahihan pertuduhan.
Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC Internatonal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Pasukan pendakwa dan peguam bela sebelum itu bertekak tentang dua hari tambahan iaitu Isnin dan Selasa minggu depan yang dipohon oleh Peguam Negara Tommy Thomas.
Pasukan pembelaan yang diketuai peguam Muhammad Shafee Abdullah tidak setuju dengan dua tarikh itu dengan alasan mereka sibuk dengan kes lain.
Shafee juga memberitahu hakim beliau ada kes lain esok dan tidak boleh mengendalikan kes Najib.
“Saya ada kes yang tertuduhnya ditahan sejak 2012. Kes itu lebih mustahak,” katanya.
Thomas bagaimana berkata alasan Shafee tidak munasabah.
“Kedua-dua belah pihak ada peguam yang ramai. Seorang peguam tidak ada bukan alasan untuk kes tangguh,” hujah Peguam Negara.
“Saya seorang pengamal swasta yang tidak pernah meminta penangguhan. Lihatlah rekod saya,” tambah Thomas. Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau turut menjangka pendakwa, termasuk dirinya sendiri, akan “masuk dan keluar” ketika perbicaraan berlangsung.
“Itu adalah caranya,” kata Shafee. “Beliau tidak kekal dalam sebarang kes jenayah.”

Thomas mengetuai pasukan pendakwaan yang disertai peguam kanan yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya Sulaiman Abdullah dan V Sithambaram. Mereka dibantu timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria, Manoj Kurup, Budiman Lufti Mohamed dan Muhammad Izzat Fauzan.
Shafee pula dibantu peguam Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan dan Syahirah Hanapiah.
Peguam Revin Kumar mewakili isteri Najib, Rosmah Mansor sebagai peguam pemerhati.
Menurut Thomas, kalau Shafee tidak boleh hadir, peguam bela yang lain boleh teruskan dan mereka juga layak untuk menyoal balas saksi pendakwaan.
Shafee bagaimanapun membantah dengan berkata beliau perlu hadir sebagai ketua peguam bela.
“Hanya ada seorang jeneral dalam pasukan saya,” katanya.
Mahkamah hari ini mendengar keterangan Mohd Akmaluddin Abdullah, 35, seorang penolong pendaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, yang antara lain mengesahkan Najib adalah penasihat dan pengerusi 1MDB. – 3 April, 2019
Komen