Lesen Lynas akan diperbaharui selepas pertimbangan wajar, kata Wan Azizah


Lee Chi Leong

Kabinet perlu membuat pertimbangan antara kepentingan dari sudut pelaburan dan pencemaran sebelum membuat keputusan berhubung pembaharuan lesen operasi syarikat itu, kata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail. – Gambar EPA, 3 April, 2019.

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mempertahankan Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof yang mengeluarkan kenyataan mengenai Lynas Advanced Materials Plant (LAMP). 

Beliau berkata Kabinet perlu membuat pertimbangan antara kepentingan dari sudut pelaburan dan pencemaran sebelum membuat keputusan berhubung pembaharuan lesen operasi syarikat itu.

“Sebagai menteri pembangunan usahawan, beliau mahukan tingkatkan pelaburan. Bagi menteri alam sekitar, beliau bimbangkan kesan terhadap alam sekitar.

“Jadi, dalam isu Lynas ini, Kabinet perlu buat pertimbangan. Kita mahukan pelaburan dan ekonomi. Namun, kita juga perlu melihat dari segi pencemaran,” kata Wan Azizah kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyatan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang baru-baru ini membidas kenyataan Redzuan mengenai loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng sedangkan ia bukanlah di bawah portfolio menteri pembangunan usahawan itu.

Sebelum itu, Redzuan berkata arahan Menteri Tenaga Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin supaya Lynas membawa keluar sisa dari loji syarikat itu di Gebeng supaya lesen operasinya diperbaharui hanyalah pendapat Yeo sendiri.

Beliau berkata keputusan muktamad mengenai pembaharuan lesen Lynas akan ditentukan Kabinet. 

Wan Azizah berkata Redzuan hanya bercakap dari sudut pelaburan dan perdebatan antara kedua-dua menteri dan ahli Parlimen Kuantan itu adalah perdebatan sihat mengenai bagaimana mencari penyelesaian terbaik. 

“Isunya di sini ialah, mereka mesti bawa keluar sisa,” katanya.

Beliau juga berkata Kabinet akan menunggu kata akhir daripada Dr Mahathir Mohamad selepas perdana menteri mengambil kira semua aspek sebelum membuat keputusan. – 3 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen