KERAJAAN menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan siaran langsung perbicaraan Najib Razak pada Rabu ini seperti diminta sesetengah pihak, kata Hanipa Maidin.
“Saya berharap mereka akan memohon untuk berbuat demikian supaya mahkamah boleh menentukannya.
“Jika pendakwa raya tidak membantah, ia lebih mudah tetapi pemohon perlu memberi sebab kepada mahkamah untuk menyiarkan perbicaraan itu.
“Mungkin mahkamah akan meminta permohonan disertakan dengan afidavit tetapi saya tidak mahu berbincang hal itu lebih awal,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) itu.
Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang, mengulas pertanyaan sama ada kerajaan terbuka dengan permintaan untuk menyiarkan perbicaraan Najib yang bermula Rabu ini.
Minggu lalu, Najib berkata beliau terbuka dengan idea untuk menyiarkan perbicaraan itu bagi menunjukkan ketelusan perbicaraan.
Selepas tertangguh beberapa kali, perbicaraan kes Najib berhubung SRC International Sdn Bhd akhirnya akan bermula pada Rabu selepas ia sepatutnya berlangsung dari 12 Februari hingga Jumaat ini.
Perbicaraan kes itu ditangguhkan dua kali oleh Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan Khamis lalu, susulan rayuan yang dikemukakan defendan.
P ada 4 Julai tahun lalu, Najib dikenakan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu dakwaan menyalahguna kuasa terhadap dana SRC International yang berjumlah RM42 juta.
Beliau juga didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama pada 4 Ogos lalu.
Beliau mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu. – 1 April, 2019.
Komen