Pembayar cukai terpaksa tampung insentif Felda, kata Rafizi


Sheridan Mahavera

Insentif untuk peneroka perlu dilakukan BN dalam apa cara sekalipun kerana kawasan itu merupakan bank undi utama parti pemerintah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2017.

DANA awam akan terpaksa digunakan untuk menampung insentif RM1 bilion untuk peneroka Felda yang diumumkan pentadbiran Najib Razak kerana badan berkanun itu sudah mengalami kerugian besar, kata Rafizi Ramli.

Rafizi yang juga merupakan ahli Parlimen Pandan berkata akaun Felda untuk tahun 2015 yang dihantar ke Dewan Rakyat April lalu menunjukkan Kumpulan Felda mengalami kerugian besar berjumlah RM1.112 bilion pada 2015.

Muka surat akaun itu yang ditunjukkan Rafizi, mendedahkan yang Felda kerugian lebih RM1 bilion sejak 2013, setahun selepas ia menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings (FGV) dalam pasaran saham.

Sementara itu, Anak, sebuah kumpulan mewakili generasi kedua peneroka Felda berpandangan yang kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) perlu mencari apa sahaja jalan untuk melaksanakan insentif itu kerana 100,000 keluarga Felda adalah bank undi yang penting buat mereka.

Sebahagian daripada wang untuk insentif itu berkemungkinan besar datang daripada penjualan aset Felda seperti pegangan saham yang dimiliki syarikat itu dalam sektor perbankan, kata Pengerusi Anak, Mazlan Aliman.

Jun lalu, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan enam insentif untuk peneroka Felda dan ahli keluarga mereka bertujuan meringankan beban kewangan mereka.

Pakej itu termasuklah bayaran khas RM5,000 yang akan dibuat pada penghujung Ogos untuk 94,956 keluarga peneroka berjumlah RM474.78 juta dan pelbagai skim untuk menghapuskan hutang peneroka.

Ini termasuklah penghapusan hutang sebanyak RM5,000 untuk setiap peneroka yang memilih melakukan penanaman semula dengan Felda. Sejumlah RM519 juta diperuntukkan untuk langkah ini.

Geran berjumlah RM300 juta turut diberikan bagi menghapuskan pinjaman yang diambil peneroka untuk penanaman semula tanah mereka.

Lawatan The Malaysian Insight sebelum ini ke kawasan peneroka di Pahang mendapati ada peneroka yang menanggung hutang pinjaman mencecah RM100,000 bagi penanaman semula tanah.

Insentif itu diumumkan Jun lalu,  walaupun penyata kewangan Felda terbaru pada 2015 menunjukkan kumpulan itu mencatatkan kerugian RM1.12 bilion.

Kumpulan itu rugi RM1.670 bilion pada 2013 dan RM1.109 bilion pada 2014.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata jika Felda boleh muflis jika kerajaan tidak terus memberikan bantuan dan jaminan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2017.

“Jika Felda menjual kepentingannya dalam FGVH, ia akan mencatat kerugian tambahan sebanyak RM5.16 bilion,” kata Rafizi kepada The Malaysian Insight.

“Jika kerajaan tidak terus memberikan tambahan dana awam atau jaminan kerajaan kepada Felda, ia boleh muflis.”

Disebabkan kedudukan kewangan semasa Felda, dana awam perlu digunakan untuk membayar insentif yang diumumkan Najib.

“Ia tidak boleh datang dari Felda sendiri. Rakyat malah peneroka perlu membayar (insentif) itu dalam satu atau beberapa cara lain.”

Ini mungkin berlaku dengan peningkatan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada masa depan, kata Rafizi.

Walaupun dua insentif itu melibatkan penghapusan hutang, wang masih diperlukan untuk melaksanakannya, dan ia akan datang daripada sumber lain.

“Hutang ini perlu dilangsaikan, dengan apa juga cara. Jika Felda hanya menulis penghapusan hutang sebanyak RM20,000 untuk 100,000 peneroka Felda dan tidak menunjukkan bagaimana mereka mahu membayar hutang itu (bagi pihak peneroka), ia akan dicatatkan sebagai kerugian RM2 bilion dalam penyata pendapatan 2018.”

Sekiranya itu berlaku, ia akan memburukkan lagi kedudukan kewangan Felda, kata Rafizi.

Timbalan Menteri Razali Ibrahim yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan Felda tidak membalas panggilan telefon dan mesej pesanan ringkas bagi mendapatkan penjelasannya tentang dakwaan ini.

Presiden Anak, Mazlan Aliman mendakwa dahulu, bantuan seperti itu bertujuan membantu BN dalam pilihan raya. Kerana itu, ia akan mencari jalan untuk membayar pelaksanaan enam insentif itu.

“Setiap kali BN mengumumkan bantuan dan insentif untuk peneroka pada pilihan raya lalu, mereka selalunya akan dapat 80% undi peneroka. Jadi mereka perlu pastikan yang mereka boleh buat insentif ini.

100,000 keluarga peneroka dan anak mereka yang merupakan generasi kedua Felda berjumlah hampir  sejuta orang. Penempatan Felda terletak di lebih 54 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, Mazlan percaya kali ini, pakej insentif yang ditawarkan tidak cukup untuk memenangi undi semua ahli keluarga Felda.

Ini memandangkan 70% undi Felda kini datangnya daripada generasi kedua peneroka dan mereka sangat kritikal terhadap pentadbiran Najib.

“Pengundi ini tinggal di luar kawasan, di Lembah Klang, Johor Baru dan Kuantan. Tetapi mereka balik kampung untuk melawat ibu bapa mereka dan mengundi,” kata Mazlan, anak peneroka Felda Bukit Ramun, Kulai, Johor.

“Generasi kedua lebih sedar tentang masalah peneroka dan lebih kritikal terhadap kerajaan berbanding ibu bapa mereka. Mereka tidak akan mudah terpengaruh.” – 13 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen