Penghuni rumah panjang Bukit Kiara masih tunggu rumah dijanjikan pemaju


Ragananthini Vethasalam

Penghuni rumah panjang Bukit Kiara masih menunggu janji diberikan rumah sejak berpuluh tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2019.

PENGHUNI rumah panjang Bukit Kiara masih menanti rumah dijanjikan pemaju dan mendakwa penduduk Taman Tun Dr Ismail menentang pembangunan di situ atas kepentingan sendiri.

Pembangunan yang dirancang itu sepatutnya menawarkan rumah baharu mampu milik kepada mereka, yang dibina dalam lapan blok apartment mewah menerusi kerjasama Malton Bhd dan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Penghuni rumah panjang yang ditemui baru-baru ini, rumah mereka bukan sekadar usang dengan atap bocor, tetapi juga dipenuhi haiwan perosak termasuklah ular.

Seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Saras berkata rumah baharu mampu milik itu dijanjikan kepada mereka empat tahun lepas, selepas berdekad lamanya mereka menetap dalam rumah panjang kayu susulan pemindahan dari ladang Bukit Kiara untuk membuka laluan kepada pembangunan TTDI pada 1982.

Setiap isi rumah unit rumah panjang membayar sewa RM45 sebulan.

“Ini (rumah mampu milik) adalah yang kami perjuangkan selama ini,” kata Saras.

Saudaranya, Susila, pula berkata isu itu sudah lama berlanjutan tanpa penyelesaian. Dalam tempoh itu, ada penghuni yang sudah meninggal dunia dan anak-anak penghuni asal sudah ramai yang berkahwin.

“Berapa lama lagi kami patut tinggal dalam situasi daif ini? Berpuluh tahun berlalu dan anak-anak kami pun sudah berkahwin. Ada orang yang berharap ada rumah tetapi meninggal sebelum harapan mereka dipenuhi.”

Rumah panjang itu yang menempatkan hampir 100 keluarga bekas pekerja ladang terletak dalam kawasan Kuil Sri Maha Mariamman di Taman Tun Dr Ismail bertentangan dengan Taman Rimba Eco Park.

Taman itu diubah zon bagi tujuan pembangunan oleh bekas pentadbiran terdahulu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tetapi penduduk TTDI sedang menentang projek pembangunan semula itu kerana ia boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk dalam kawasan perumahan elit tengah ibu kota itu.

Mereka juga mendakwa projek yang diluluskan oleh bekas menteri wilayah Barisan Nasional itu dipenuhi konflik kepentingan dan wujud korupsi.

Dalam versi terbaru projek pembangunan itu, sebahagian Taman Rimba akan dibangunkan, memelihara 6.9 hektar atau 17 ekar tanah taman itu berbanding keluasan sekarang, tolak ansur yang ditawarkan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Penghuni rumah panjang berkata, tawaran terbaru itu boleh diterima, tetapi penduduk TTDI masih menentangnya.

Keluarga rumah panjang itu menyertai Perjanjian Penempatan Induk bersama Yayasan Wilayah Persekutuan pada 2015, yang menyatakan unit rumah mampu milik akan dibina secara percuma kepada generasi pertama pekerja, manakala generasi kedua boleh membelinya dengan harga diskaun.

Seorang penghuni yang bekerja sebagai kontraktor Alam Damai berkata penentangan penduduk TTDI yang mahu mengekalkan tanah itu sebagai kawasan hijau mengeruhkan lagi situasi.

“Mereka hanya mahu tempat untuk berjoging. Mereka sudah ada tempat berekreasi, kenapa kacau kami. Mereka sedang siksa kami.”

“Mereka rasa pembangunan baharu ini akan menyesakkan tempat ini dan mereka kurang tempat untuk bersenam atau beraktiviti.”

Beliau bersetuju dengan pandangan Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara V Sunderam, dua hari lepas yang mengecam penduduk “berkuasa dan elit” kawasan kejiranan kaya TTDI kerana menghalang penduduk rumah panjang mendapat rumah mereka. – 31 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen