Kelewatan rumah baharu, penduduk rumah panjang salahkan golongan elit TTDI


Penduduk rumah panjang terdiri daripada kira-kira 100 keluarga pekerja ladang getah India yang berpindah untuk memberi laluan kepada pembangunan TTDI pada 1982. - Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2019.

PENDUDUK rumah panjang di Bukit Kiara menyalahkan golongan elit di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) penyebab mereka lewat mendapatkan rumah baharu berikutan pembantahan pembangunan semula Taman Rimba Kiara.

Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara, V Sunderam dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebimbangan penduduk rumah panjang meningkat susulan kenyataan dikeluarkan di antara Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan peguam berhubung jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada pemaju jika projek dihentikan.

Sunderam berkata, penghuni rumah panjang sudah menunggu lebih 36 tahun untuk mendapatkan rumah baharu tetapi berdepan dengan bantahan prejudis yang dibangkitkan oleh persatuan penduduk TTDI dan Hannah yang mahu keseluruhan projek itu dihentikan.

Projek itu termasuk 350 unit rumah mampu milik untuk penduduk rumah panjang Bukit Kiara, lapan blok kondominum mewah setinggi 50 tingkat.

“Kami sedih semua pihak mengabaikan kami. Kami macam kurang penting dari pokok dan pengunjung di estet Bukit Kiara. Mereka bercakap tentang trek untuk berlari, kami hanya minta rumah untuk berlindung.

“Kami perintis peneroka terpaksa dipindahkan ke rumah panjang kerana pembangunan besar-besaran di TTDI. Ia tidak adil untuk anda menghalang kami mendapatkan rumah kami sendiri,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menyokong projek skala kecil yang akan meninggalkan 6.9 hektar atau 17 ekar Taman Rimba Kiara sedia ada yang tidak disentuh untuk digunakan sebagai taman awam.  – 28 Mac, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen