Semarak politik kaum bakar sentimen di Rantau


Chan Kok Leong

Empat calon PRK Rantau akan jadi penentu sama ada isu perkauman akan terus meraih undi rakyat Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Mac, 2019.

K Balamaran duduk menunggu di luar pejabat pilihan raya kecil DAP di pekan Rantau, Negeri Sembilan dengan renungan mata yang sayu sambil menyedut rokok jenama murah.

Dia seorang sukarelawan. Kerjanya menerima aduan penduduk setempat.

Tetapi wajah lelaki berumur 60 tahun itu tampak berseri ketika ditanya pandangannya tentang pilihan raya kecil di kawasan itu yang bermula hari ini.

“Hassan sudah jadi orang lain sekarang. Cakapnya sudah kuat perkauman sejak PRU14,” katanya, merujuk calon Umno, Mohamad Hasan.

Balamaran mengeluarkan telefon genggamnya. Dia menunjukkan sepotong video pendek pemangku presiden Umno itu berucap kepada ahli-ahli partinya di Rantau tahun lalu.

Dalam video itu, Mohamad atau mesra dengan panggilan Tok Mat, dilihat memberitahu ahli-ahli Umno betapa politik perkauman sudah jadi semakin buruk sejak parti itu kalah pilihan raya.

“Mereka berani mencabar kita sekarang. Mereka mahu iktiraf ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) dan kata kita ini pendatang.

“Kita orang Melayu dari Kepulauan Melayu. Mereka datang dari India dan China. Jadi, siapa pendatang?” tanya beliau sambil bercakap tentang semaraknya politik kaum sejak PRU14.

Wujud pendapat Tok Mat sudah berubah dan kuat memainkan isu perkauman di kalangan bekas penyokong BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Mac, 2019.

Balamaran memberitahu The Malaysian Insight, beliau kurang senang dengan cakap-cakap Mohamad yang begitu.

“Dia wakil rakyat di sini sudah tiga penggal. Dia tak patut cakap macam itu,” kata bekas pekerja kilang itu, yang sebelum ini pernah mengundi Mohamad.

Mohamad adalah menteri besar Negeri Sembilan sebelum Barisan Nasional (BN) kalah PRU14 hampir setahun lalu.

Apa yang menjengkelkan hati Balamaran bukanlah gaya retorik kaum bekas menteri besar itu, tetapi bagaimana rumah mampu milik daripada sebuah projek kerajaan BN sebelum ini di Rantau diagih-agihkan kepada rakyat.

“Masa Mat Hasan jadi MB, dia bawa projek dari ‘federal’, buat rumah kos rendah di sini. Tetapi kebanyakan orang yang dapat rumah itu bukannya pun orang sini,” kata Balamaran.

Dia antara orang yang tidak dapat rumah daripada projek itu.

Calon Pakatan Harapan Dr S Streram yang pada PRU14 dihalang bertanding akan berdepan cabaran besar isu perkauman yang akan dimainkan di PRK Rantau. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Mac, 2019.

Gan Li Peng, seorang peniaga, berkata hanya 10% penduduk Rantau dapat kunci sebahagian daripada rumah kos rendah yang dibina oleh kerajaan persekutuan di pekan itu.

“Kebanyakan penduduk miskin di sini kaum India, bekas pekerja estet yang sekarang kerja di kilang. Mereka tak dapat rumah. Banyak rumah itu dapat pada orang di Selangor, Melaka dan tempat lain,” dakwanya.

Menurut Gan, Rantau dulu ladang getah dan kelapa sawit tetapi kebanyakan tanah itu sudah dijual kepada syarikat besar seperti Sime Darby.

“Orang India di sini tidak kerja situ lagi. Mereka kerja kilang,” kata lelaki 65 tahun itu.

Rantau diapit antara bandar pelancongan tepi pantai Port Dickson dan ibu negeri Seremban. Menganjur dari Mambau di sebelah Seremban, kilang-kilang kecil yang menggajikan penduduk setempat membuat bata sampailah kicap mercup di sepanjang 10km jalan raya laluan N7 merentas kawasan berbukit.

Di hujung jalan masuk ke pekan Rantau, ternampak sisa ladang kelapa sawit dan getah.

Tetapi seperti banyak pekan kecil lain, tempat ini sunyi pada sebelah siang. Kebanyakan penduduknya mencari rezeki bekerja di kilang-kilang di Seremban dan Sendayan.

Penduduk Rantau akan menjadi saksi pertempuran hebat memilih wakil mereka, kerana salah seorang calon adalah pemimpin tertinggi Umno dan BN. – Gambar The Malaysian Insight olhh Seth Akmal, 30 Mac, 2019.

Selain sebuah balai polis yang tegak di tengah pekan, satu-satunya penghubung dunia luar ialah sebuah cawangan bank dan restoran makanan segera popular di Malaysia, kedai ayam goreng KFC. Selebihnya, deretan kedai di pekan itu ialah kedai runcit, kedai makan, bengkel dan beberapa buah klinik.

Rantau, yang akan mula memilih wakil rakyatnya hari ini, mempunyai 14 pusat daerah mengundi. Pengundinya terdiri daripada 54% Melayu, 27% India dan 19% Cina.

Pilihan raya kecil ini akan ditandingi Mohamad yang mewakili BN, calon Pakatan Harapan daripada PKR Dr S Streram, serta dua calon Bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yasin. 

Dalam pilihan raya umum yang lepas, Streram, seorang pakar bius, dinafikan haknya bertanding selepas disekat daripada mengemukakan kertas pencalonan pada pagi penamaan calon.

Beliau mencabar tindakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di mahkamah, dan langkahnya itulah yang membawa kepada pengundian pada 13 April nanti.

Ini adalah kali pertama Streram bertanding, melawan Mohamad yang sudah tiga penggal jadi wakil rakyat Rantau.

Dua kali lima

Sama seperti Balamaran yang bersungut tentang retorik kaum Mohamad, Harun Ishak, 65, juga merasakan politik perkauman sudah semakin buruk sejak kerajaan beralih hampir setahun lalu.

“Orang dalam kerajaan yang diketuai DAP mula mempersoalkan hak Melayu,” kata pesara kerajaan itu.

“Sejak jadi kerajaan, mereka potong BR1M, bantuan petani, nelayan dan lain-lain yang kebanyakannya orang Melayu. Mereka cuba perkenalkan ICERD. Lebih dari itu lagi, ada pula yang mempertikaikan Islam di Facebook,” kata Harun.

Bagi Harun, riuh rendah di media sosial itu timbul selepas Umno hilang kuasa.

Harun yang keluar masuk bilik operasi BN yang terletak berseberang daripada balai polis Rantau berkata, apa yang berlaku “salah pihak di sebelah sana”.

“Kita mesti undi Tok Mat untuk elak keadaan jadi lebih buruk,” kata Harun.

Rantau, kubu kuat BN dan pernah jadi kawasan bekas menteri besar akan jadi tempat pertempuran PRK keenam diadakan selepas PRU14 tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2019.

Kerana Rantau tidak mengundi dalam pilihan raya yang lalu, tiada data daripada PRU14 yang boleh jadi petunjuk.

Oleh itu, penganalisis menggunakan data daripada pola pengundian kerusi Parlimen Rantau. Bersama Paroi, Chembong dan Kota, Rantau membentuk kawasan Rembau, yang dimenangi calon BN, Khairy Jamaluddin.

Menurut data PRU14, PKR mendapat 8,210 (48.06%) undi berbanding BN sebanyak 7,798 (45.65%) manakala PAS mendapat 777 undi (4.55%). Bezanya 412 undi.

Selepas diambil kira faktor kerjasama PAS dan Umno, BN boleh menang dengan kelebihan 365 undi.

Daripada 14 pusat daerah mengundi yang ada, lima adalah kawasan majoriti Melayu dengan lebih 70% pengundi, empat kawasan majoriti kecil Melayu antara 50-70% pengundi dan selebihnya kawasan campuran.

BN menang tujuh dan kalah semua lima kawasan pengundi campuran.

Pola pengundian itu menunjukkan ada penolakan terhadap BN berdasarkan garis kaum.

Melihat pada sentimen di Rantau menjelang pilihan raya kecil ini, trend itu dijangka tidak akan berubah. – 30 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen