Segera tubuh suruhanjaya salah laku polis, kata wakil Majlis Peguam


Ragananthini Vethasalam

Pengerusi Petugas Khas Majlis Peguam IPCMC M Ramachelvam menafikan dakwaan penubuhan suruhanjaya itu bertujuan mencari kesalahan dan mensasarkan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2019.

PENUBUHAN Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak seharusnya ditangguhkan lagi kerana isu yang menjadi kebimbangan sudah ditangani, kata Pengerusi Petugas Khas Majlis Peguam IPCMC, M Ramachelvam.

IPCMC pertama kali disyorkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2005, berikutan berlakunya kematian tahanan, dan tempoh 14 tahun terlalu lama bagi kerajaan untuk terus menunggu, katanya.

“Saya berpendapat kerajaan harus segera meneruskan IPCMC. Terdapat tempoh mencukupi dari saat RCI ditubuhkan pada 2005 hingga sekarang.

“Malah, ketua polis negara dan timbalannya sebelum ini menyatakan mereka menyokong IPCMC. Rakyat Malaysia juga menyokong IPCMC.

“Malah, ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) yang IPCMC akan dilaksanakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ramachelvam berkata demikian sebagai respons kepada Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin awal minggu ini yang berkata kerajaan masih mendengar pendapat berbeza pihak berkepentingan mengenai IPCMC yang dicadangkan.

Ramachelvam berkata keraguan terhadap IPCMC hanya dibangkitkan oleh beberapa pihak sahaja.

“Keraguan yang dinyatakan adalah isu sama yang dibangkitkan pada 2005. Tidak ada yang baharu. Kebanyakan isu sudah ditangani oleh pindaan yang dicadangkan oleh Majlis Peguam terhadap Rang Undang-Undang asal.

“Kepelbagaian kebimbangan terhadap polis, seperti hak untuk merayu bagi mana-mana keputusan IPCMC kepada mahkamah, dan hak memperoleh wakil perundangan, ditangani oleh pindaan yang dicadangkan oleh Majlis Peguam terhadap Rang Undang-Undang asal yang dirangka oleh RCI mengenai polis pada 2005.”

Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis tidak boleh ditangguhkan lagi kerana isu yang menjadi kebimbangan sudah ditangani, kata Pengerusi Petugas Khas Majlis Peguam IPCMC, M Ramachelvam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2019.

Beliau juga menolak dakwaan yang IPCMC bertujuan untuk mencari kesalahan dan mensasarkan polis.

“Kerajaan sudah menyatakan yang agensi penguatkuasaan lain, seperti imigresen, kastam, Jabatan Maritim, Jabatan Perikanan, dan sebagainya, akan (akhirnya) di bawah ombudsman yang akan ditubuhkan.

“Oleh itu, dakwaan polis dijadikan sasaran merupakan tuduhan tidak berasas.

“Dalam kebanyakan bidang kuasa IPCMC hanya menangani secara eksklusif aduan dan salah laku polis. Oleh itu, tiada asas yang polis menjadi sasaran kerajaan,” tambah Ramachelvam.

Ditanya sama ada Majlis Peguam terlibat dalam mana-mana urusan berhubung IPCMC, beliau berkata ia sudah bertemu dengan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Peguam Negara bagi membincangkan mekanisme untuk IPCMC dan bertukar pandangan.
Mesyuarat itu dianjurkan oleh GIACC dan diadakan pada Disember dan Januari.

“Dari apa yang saya tahu, EAIC sudah berurusan dengan polis dan pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri. EAIC bertanggungjawab merangka Rang Undang-Undang.”

Ramachelvam mencadangkan agar suruhanjaya itu mempunyai kuasa tindakan tatatertib dan penguatkuasaan, jika tidak ia akan berkesan dan tiada perbezaan dengan EAIC.

EAIC dibentuk oleh kerajaan Barisan Nasional dan digantikan dengan IPCMC, yang merupakan satu daripada 125 cadangan yang dibuat oleh RCI berhubung salah laku polis pada 2005.

Ramachelvam menambah anggota polis yang mematuhi undang-undang tidak perlu takut.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Akhbar Satar berkata IPCMC mesti mengambil tindakan tanpa rasa takut dan memihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2019.

Kumpulan masyarakat sivil lain juga mempunyai cadangan untuk IPCMC.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata ia berminat memberi input terutama mengenai aspek akauntabiliti dan rasuah polis.

Beliau berkata akauntabiliti polis, ketelusan dalam prosedur standard dan memerangi rasuah dari dalam pasukan polis adalah perkara utama yang penting.

“Berkenaan memerangi rasuah (dari dalam pasukan) kami mencadangkan agar nama mereka didedahkan.”

Beliau menambah IPCMC sepatutnya sejajar dengan Pelan Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACP) 2019-2023.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Akhbar Satar berkata IPCMC mesti mengambil tindakan tanpa rasa takut dan memihak serta menjalankan siasatan menyeluruh secara profesional tanpa menghilangkan objektifnya.

Ia mesti adil bagi pengadu dan subjek.

“Ketelusan adalah sesuatu yang ketua jabatan biasanya elakkan kerana kesan yang menyebabkan orang ramai mengetahui ‘rahsia’ mereka, seterusnya menjejaskan agensi.

“Tetapi ada yang berusaha untuk mewujudkan tahap kepercayaan dengan pembayar cukai.”

IPCMC juga boleh menghalang nama baik PDRM daripada terus dicemar yang juga memberi keadilan kepada pegawai yang memiliki dan mengekalkan integriti yang tinggi, katanya.

Jika terdapat sebarang kebimbangan mengenai IPCPCM, Akhbar berkata ia mungkin menjadi satu cabaran bagi mencari individu yang tepat untuk menguruskannya.

Beliau menyenaraikan beberapa ciri seperti integriti yang tinggi, keberanian dan kejujuran yang diperlukan untuk pekerjaan itu.

Turut penting ialah IPCMC yang tidak boleh dibiarkan diurus oleh kroni atau individu tidak sepatutnya.

Mereka yang memegang jawatan itu mesti mempunyai kemahiran dan pemahaman terhadap undang-undang dan penguatkuasaan, tambah Akhbar. – 29 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • It was wrong for the then government to have backed down after protests from the police, thus giving the police face and the upper hand to carry on with its misconduct with impunity. Instead of protesting, the police top brass should have backed the government's move if they were confident that the police was clean. Protesting and have the government back down only showed that the police had much to hide and the top brass was aware of all that was going on in the force. Why did the police top brass defend all the high-handedness and corruption in the force? And the present government is taking its own sweet time over this long-standing matter. Why?

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan