KONTROVERSI yang menyelubungi pentadbiran Malaysia dan Amerika Syarikat mungkin menjejaskan perbincangan perdagangan di masa hadapan antara dua negara.
Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs Wan Saiful Wan Jan berkata lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke White House penting tetapi ada kebimbangan yang wujud berkaitan “dakwaan yang masih tidak selesai” kedua-dua pihak.
“Saya harap pertemuan di sana akan lebih banyak membincangkan perjanjian perdagangan masa depan, perjanjian bilateral sekiranya itu yang dimahukan AS.
“Sedikit malang kerana ia akan diselubungi tuduhan kepada kerajaan kita serta dakwaan berkaitan pentadbiran Trump. Ini nasib tidak baik tetapi saya rasa sangat penting untuk memastikan (pertemuan) itu berlaku,” katanya pada sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini yang membincangkan hubungan ekonomi antara Malaysia, Amerika Syarikat dan China.
Dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu, Wan Saiful berharap yang perdana menteri mampu memujuk Presiden AS Donald Trump kembali ke meja rundingan Perjanjian Trans Pasifik (TPP).
“Tidak mudah untuk lakukan perkara itu,” kata Wan Saiful.
Jumaat lalu, Najib berkata yang beliau akan mencari jalan untuk berunding perjanjian perdagangan bilateral dengan AS susulan keputusan negara itu menarik diri daripada TPP pada Januari kerana ia mahu terlibat dalam perjanjian perdagangan bilateral berbanding perjanjian banyak negara.
Penasihat Kanan Asean Advisory, Yong Hee Kong juga berharap yang presiden AS mengubah fikiran dan kembali menyertai TPP.
“Banyak perkara tidak dapat dijangka sekarang dan Trump dikenali sebagai (pemimpin) yang mengubah keputusannya.
“Harapnya TPP boleh disertai kembali kerana negara itu terlibat dalam proses rundingan tegang selama tujuh tahun. Rugilah kalau mereka tidak terlibat sama,” kata Yong kepada wartawan.
Najib tiba di Washington semalam bersama isteri, Rosmah Mansor atas jemputan Trump bagi meraikan hubungan bilateral antara Malaysia dan AS yang mencecah usia 60 tahun.
Perdana menteri juga dijangka cuba menarik sokongan AS bagi mengentikan keganasan ke atas minoriti Rohingya di Myanmar.
Bagaimanapun, lawatan itu turut meraih kritikan banyak pihak mengenai skandalnya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Presiden Pakatan Harapan (PH), Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perdana menteri perlu mengubah status laporan Jabatan Audit Negara tentang 1MDB yang kini diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Dr Wan Azizah berkata dengan tidak mendedahkan laporan itu, pertemuan antara Najib dan Trump boleh dilihat sebagai cubaan untuk membersihkan nama Malaysian Official 1 (MO1).
Akhbar berpengaruh, Wall Street Journal juga mendesak Trump membatalkan pertemuan itu kerana skandal kewangan rentas negara itu.
Jabatan Kehakimana Amerika Syarikat (DoJ) melancarkan siasatan jenayah ke atas dana yang didakwa dirompak daripada 1MDB, dan berusaha menangguhkan saman sivil yang difailkan sejak dua tahun lalu bagi merampas aset bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4.3 bilion). – 12 September, 2017.
Komen