Trump raikan Najib kerana mahu sekutu halang Korea Utara, kata WSJ


Najib Razak dijangka melawat Donald Trump minggu ini, lawatan yang mendapat kecaman pelbagai pihak ketika perdana menteri Malaysia itu masih bergelut dengan skandal kewangan rentas negara, 1MDB. – Gambar EPA, 11 September, 2017.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menyambut ketibaan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, susuk pemimpin penuh skandal minggu ini dalam cubaannya untuk mengukuhkan hubungan dengan sekutu dari Asia dalam usaha menyekat program nuklear Korea Utara, lapor Wall Street Journal.

Lawatan Najib yang antara programnya termasuklah peluang bergambar dengan Trump berlaku ketika Jabatan Kehakiman AS (DoJ) sedang berusaha melancarkan siasatan jenayah ke atas dana haram yang didakwa dirompak dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siasatan ke atas AS$1.6 bilion yang didakwa dirompak daripada 1MDB boleh “menjerat” ramai elit pemerintah Malaysia termasuklah Najib, kata WSJ.

Laporan itu menyebut yang DoJ menangguhkan saman sivil untuk merampas aset yang dibeli menggunakan dana itu kerana mahu melancarkan siasatan jenayah walaupun Najib tidak dinamakan dalam saman itu.

Bagaimanapun, satu sumber tidak mahu dikenali yang mengetahui perincian siasatan itu yang ditemubual WSJ berkata “Malaysian Official 1” (MO1) yang disebut dalam saman ialah Najib. Tahun lepas, seorang menteri Malaysia juga mengesahkan MO1 ialah Najib.

WSJ juga memetik sumber itu sebagai berkata yang “pertemuan itu boleh menjejaskan kes pendakwaan jenayah di masa depan hasil daripada siasatan (DoJ), kerana defendan boleh menggunakan mana-mana gambar Najib bertemu Trump atau pegawai kanan White House yang lain dalam pembelaan mereka”.

Pegawai DoJ yang dihubungi WSJ berkata, jabatan itu tidak terlibat dalam perancangan lawatan Najib dan menegaskan yang perdana menteri Malaysia itu tidak didakwa.

Pegawai AS lain berkata yang lawatan itu boleh memberikan peluang kepada Washington untuk menekan Putrajaya bagi menghapuskan aktiviti Korea Utara di Malaysia.

Pakar mengenai isu Korea Utara mengatakan yang situasi kawal selia yang lemah di Malaysia memudahkan Pyongyang menjadikan negara ini pangkalan untuk “ penghantaran, pembiayaan dan transaksi tukaran asing haram”.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyebut yang Pyongyang menggunakan Malaysia sebagai pangkalan aktiviti untuk mengelak daripada sekatan global yang dikenakan kepada negara tertutup itu kerana program senjata nuklearnya.

PBB berkata Malaysia masih lagi membeli arang batu dari Korea Utara dan jaringan syarikat yang beroperasi di Malaysia digunakan untuk melepasi sekatan antarabangsa dalam pembelian bahan untuk kegunaan ketenteraan. Jaringan syarikat itu bekerja di bawah Global Communications Co, sebuah syarikat ditubuhkan agensi perisikan Korea Utara, Reconnaissance General Bereau.

PBB berkata Malaysia enggan menjawab persoalan mengenai aktiviti Korea Utara di negara ini. Tetapi hubungan Malaysia dan Korea Utara tegang selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang Kim Jong-un awal tahun ini di Kuala Lumpur.

Seorang penganalisis yang ditemubual WSJ berkata, bagi Trump menerima Najib di White House adalah soal “realpolitik”.

“Trump menunjukkan kesediaan dan hasrat untuk cuba menawan seseorang yang sedang bergelut dengan masalah korupsi, tetapi mungkin masih berguna,” kata Michael Kugelman, penganalisis kanan di Wilson Center, sebuah badan pemikir di Washington.

Katanya, dia tidak pasti bagaimana strategi itu akan berjaya, tetapi “Malaysia boleh diharap dan berguna” sekiranya Malaysia mahu bertindak.

Phil Robertson, timbalan pengarah kumpulan advokasi bahagian Asia, Human Right Watch berkata, lawatan Najib mencerminkan dasar asing Asia Tenggara pentadbiran Trump yang muflis moral.

“Dengan jemputan ke White House, Trump sebenarnya mengatakan yang dia tidak peduli soal skandal korupsi 1MDB atau tindakan keras kerajaan Malaysia ke atas pengkritik yang berani mencabar penjelasan melucukan Najib tentang bagaimana lebih daripada AS$600 juta boleh berada di akaun peribadinya,” kata Robertson.

Dia merujuk kepada AS$681 juta yang diakui Najib dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, tetapi mendakwanya sebagai derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Tahun lepas, Peguam Negara Apandi Ali membersihkan Najib daripada semua salah laku berkaitan wang tersebut, menegaskan yang ia adalah derma.

Najib adalah pemimpin Asia Tenggara kedua melawat Trump di Washington selepas Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc pada Mei lalu. – 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen