Lokman Adam, tiga individu lain bakal didakwa di mahkamah esok


Alfian Z.M. Tahir

Penyokong Najib Razak bergelut dengan sekumpulan pelajar yang memprotes berhampiran Universiti Malaya hari ini. Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam (kanan) berkata beliau hanya mempertahankan bosnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2019.

ANGGOTA Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam akan didakwa di mahkamah esok susulan insiden beberapa penuntut Universiti Malaya (UM) dikasari di sebuah  perhentian bas di Pantai Baharu, baru-baru ini.

Lokman yang mengesahkan perkara itu melalui laman sosial Facebooknya berkata, beliau menerima surat pertuduhan hari ini dan diminta hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, 9 pagi esok.

Katanya, Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Mutalif Abdul Rahim dan dua lagi individu juga akan dituduh berhubung kes itu. 

“Saya bakal dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaaan yang akan dibaca bersama Seksyen 149 Kanun Keseksaan di mana kononnya saya telah mendatangkan kecederaan (kepada salah seorang mahasiswa),” katanya.

Jumaat lepas, tercetus insiden tolak menolak antara mahasiswa UM dan penyokong bekas perdana menteri Najib Razak di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu.

Semasa kejadian, Najib sedang menyampaikan ucapan kepada sekumpulan pelajar di sebuah restoran terletak berhadapan perhentian bas berkenaan.

Polis mengesahkan menerima 12 laporan berikutan insiden itu.  – Bernama, 27 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen