Lokman Adam pertahan serangan ke atas pelajar


Alfian Z.M. Tahir

Penyokong Najib Razak bergelut dengan sekumpulan pelajar yang memprotes berhampiran Universiti Malaya hari ini. Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam (kanan) berkata beliau hanya mempertahankan bosnya. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Mac, 2019.

AHLI Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam mempertahankan cara sekumpulan penyokong Najib Razak mengendalikan kumpulan pelajar yang mengadakan bantahan ke atas bekas perdana menteri itu petang ini.

Beliau berkata, pelajar yang memprotes Najib berhampiran tempat bekas perdana menteri sedang mengadakan sesi pertemuan di luar Universiti Malaya, pada mulanya diberitahu dengan baik agar beralih.

Beliau juga menafikan mencekak leher pelajar dalam kejadian itu.

“Saya benar-benar cuba melepaskan dia (pelajar). Imej itu menggambarkan seolah-olah saya cuba memukulnya, tetapi tidak, saya tidak memukulnya. Dia juga memegang lengan saya. Jadi ia kelihatan kami sedang bergelut,” kata Lokman kepada The Malaysian Insight.

“Mereka memprovokasi, memegang gambar Najib berwajah badut. Saya bertanya kepada mereka mengapa lakukan ini dan saya mengoyakkan poster kerana ia tidak sopan.

Menganggap insiden itu sebagai “perkara kecil”, penyokong setia Najib itu berkata tiada apa yang perlu dibincangkan lagi.

“Kalau polis mahu menangkap saya, mereka juga harus menangkap pelajar itu. Mereka yang memprovokasi. Saya mempertahankan bos saya,” kata Lokman.

“Ia perkara kecil. Insiden itu sudah berakhir. Saya tidak bercadang untuk memanjangkan perkara ini.”

Kekecohan itu berlaku di seberang jalan, tidak jauh dari lokasi acara dialog Najib dengan sekumpulan individu berdekatan UM.

Sekumpulan pelajar memegang plakad dan karikatur wajah badut bekas pemimpin itu.

Dalam video yang disiarkan di laman Facebook Lokman, penyokong Najib berdepan penunjuk perasaan yang terdiri daripada pelajar. Ia juga menunjukkan Lokman mengoyakkan karikatur kadbod itu.

Seseorang lagi dalam kumpulan Lokman, mencengkam leher seorang ahli kumpulan berkenaan dari belakang dan cuba menariknya ke atas pagar yang memisahkan laluan pejalan kaki dan jalan. Turut kelihatan peserta lain dalam kumpulan itu menarik rambut dan menyerangnya.

Lokman dan beberapa penyokong lain campur tangan dan meleraikan pergaduhan. Kumpulan pelajar itu kemudian dilihat beredar.

Beberapa plakad penunjuk perasaan tertulis: “Tangkap Najib”, “Najib tidak malu”, dan “Di mana RM2.6 bilion?”.

Najib berdepan sekurang-kurangnya 41 tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd.

Pendakwa percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB. Najib menafikan sebarang kesalahan. – 22 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen