LAWATAN Perdana Menteri Najib Razak ke White House hari ini dijangka boleh mendapatkan rakyat Malaysia pengecualian visa untuk ke Amerika Syarikat seawal-awalnya tahun depan, kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Pentadbiran Trump difahamkan sedang meneliti untuk memberikan pengecualian itu seawal-awalnya tahun depan setelah Malaysia memenuhi semua syarat untuk mendapatkan kemudahan yang diberikan kepada beberapa negara terpilih saja.
Pengecualian visa ini dilihat lebih signifikan ketika Presiden Amerika Donald Trump sejak memegang jawatan Januari lalu menyekat visa terutamanya ke atas beberapa negara majoriti Islam.
“Pengecualian visa ini sepatutnya berkuat kuasa tahun depan, 2018,” kata sumber yang tahu tentang rundingan antara pegawai Malaysia dan Amerika yang berlangsung sebelum lawatan Najib ke White House.
Kerajaan Najib berusaha untuk mendapatkan pengecualian visa ini semasa Barack Obama jadi presiden Amerika, langkah yang dilihat titik penting ke arah meningkatkan hubungan dagang dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Duta Malaysia ke Amerika, Zulhasnan Rafique memberitahu wartawan Malaysia yang tiba di Washington DC sebelum lawatan Najib bahawa sudah memenuhi semua syarat untuk diberikan pengecualian visa “lama dahulu” kecuali satu, iaitu kadar penolakan borang visa Amerika.
Beliau mendedahkan Malaysia memenuhi enam daripada tujuh syarat yang ditetapkan undang-undang:
- Tiada syarat visa untuk warganegara AS untuk masuk ke Malaysia;
- Penggunaan e-pasport mengikut spesifikasi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO);
- Pengusiran rakyat Malaysia yang tinggal melebih had mas di AS;
- Menandatangani Perintah Presiden mengenai keselamatan dalam negeri;
- Menandatangani perjanjian menyekat dan memerangi jenayah berat; dan
- Pertukaran maklumat mengenai dokumen perjalanan hilang dan dicuri.
Di bawah program pengecualian visa itu, rakyat Malaysia boleh masuk ke Amerika bagi tujuan melancong, perniagaan atau transit sehingga 90 hari tanpa perlu memohon visa.
Duta Besar AS ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdir mengesahkan Malaysia tidak cukup sedikit saja untuk memenuhi kadar kelulusan yang diperlukan bagi membolehkan ia layak program pengecualian itu kerana kadar kelulusan bagi visa perniagaan (B1) dan pelancong (B2) hanya 96.7%.
Stesen berita NBC Mei lepas melaporkan kedatangan rakyat asing ke Amerika merosot sehingga 16% dalam masa beberapa bulan selepas Trump jadi presiden – dan sehingga ini masih belum meningkat semula.
Ia melaporkan berdasarkan maklumat daripada 50 juta pengguna peranti mudah alih di serata dunia, syarikat risikan lokasi Foursquare mendapati kemasukan pelancong ke Amerika merosot purata 11% sejak Oktober 2016, dengan peratusan terendah dicatatkan pada Mac iaitu sebanyak 16%.
Pengecualian visa Amerika ini merupakan antara isu yang akan dibincangkan antara Najib dan Trump pada pertemuan empat mata mereka dan pada mesyuarat bersama delegasi di White House hari ini.
Najib juga dijangka akan membangkitkan soal perdagangan, pelaburan, kerjasama ketenteraan dan perkongsian maklumat risikan dalam perbincangannya dengan Trump. – 12 September, 2017.
Komen
Harap hubungan baik PM Najib dengan Trump boleh menjadikan ini satu kenyataan, jangan sampai tahun depan pulak ini hanya tinggal mimpi sahaja !
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Malaysia Forward · Ulasan