GURU akan mendapat bilik “khas” untuk berehat bagi memulihkan diri daripada keletihan mengajar, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
“Guru perlu ruang untuk berehat dan ia satu keperluan selepas seharian mengajar. Perlu ada tempat untuk mereka berehat.
“Sesetengah sekolah sudah pun melakukannya. Berdasarkan kepada pekeliling kementerian pada 19 Disember, kami minta semua sekolah menyediakan tempat khas untuk guru saja,” katanya kepada wartawan pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Maszlee berkata demikian mengulas soalan Muslimin Yahaya (Sg Besar-PH) tentang bagaimana kerajaan hendak menyediakan persekitaran yang kondusif dan terapeutik untuk guru.
Memandangkan sesi soal jawab di Dewan Rakyat tidak sempat tiba di soalan itu, Maszlee memutuskan untuk mengadakan sidang akhbar hari ini bagi menjelaskan perkara itu.
“
“Ini sebahagian daripada objektif kementerian untuk menyediakan persekitaran mesra untuk pendidik. Sektor swasta juga digalakkan melaksanakan perkara ini.”
Katanya, bilik guru sedia ada tidak cukup kerana itu ruang bekerja, bukannya tempat berehat.
“Langkah ini bagi memastikan kesejahteraan psikologi guru dan secara tidak langsung memberi motivasi kepada mereka meningkatkan kualiti pengajaran.” katanya.
Beliau berkata satu sekolah di Sarawak menempatkan ruang khas di beranda di mana guru boleh menikmati suasana nyaman dan penduduk kampung boleh menghantar kelapa kepada guru.
“Inilah pembabitan masyarakat yang mengindahkan dan menceriakan ruang kerja guru,” katanya. – 20 Mac, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan