WALAUPUN kerajaan tidak akan berbelanja jutaan ringgit untuk membawa kembali Formula One Grand Prix (F1) ke Malaysia, mana-mana pihak swasta yang berminat untuk menajanya akan dipertimbangkan, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq memberitahu yang The Malaysian Insight yang Kabinet sudah memutuskan untuk tidak meneruskan usaha membawa kembali kejohanan itu ke Malaysia kerana kekangan kewangan.
“Kabinet sudah memutuskan untuk tidak meneruskan F1 disebabkan kebimbangan pembiayaan, bagaimanapun, jika tiba-tiba ada penaja swasta mahu membantu, sudah tentu kami akan pertimbangkan,” katanya.
“Melabur jutaan sumber kerajaan pada masa kini (untuk F1) bukanlah keutamaan kerajaan.”
Malaysia menarik diri daripada menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij itu selepas perlumbaan terakhir pada 2017. Litar Antarabangsa Sepang menganjurkan 19 perlumbaan sejak 1999.
Kejohanan itu dibiaya kerajaan Malaysia dengan kos mencecah RM300 juta setiap musim.
Kos penganjuran yang tinggi serta jualan tiket yang tidak memberangsangkan menyebabkan kerajaan memutuskan untuk menarik diri.
Bagaimanapun, cakap-cakap untuk menganjurkan kembali F1 mula timbul sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.
Akhbar News Straits Times pada 13 Februari lepas melaporkan yang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masih berharap membawa semula kejohanan itu kembali ke Malaysia.
Litar Antrarabangsa Sepang adalah antara projek mega digagaskan Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri di bawah pentadbiran Barisan Nasional.
CEO Petronas Wan Zulkiflee Wan Ariffin pada 8 Mac lalu berkata, keputusan menganjurkan semula F1 bergantung kepada kerajaan.
Syarikat minyak negara itu adalah rakan kerjasama pasukan F1, Mercedes-AMG Petronas. Mereka sudah bekerjasama untuk bertanding dalam “ Constructor’s and Drivers Championships” sejak 2014. – 21 Mac, 2019.
Komen