Najib nafi tertidur dalam mahkamah


Asila Jalil

Saya cuma tutup mata, tak perlulah jadikan isu besar, kata Najib Razak ketika diminta mengulas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Mac, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak menafikan laporan yang beliau tertidur semasa prosiding rayuannya berhubung kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita yang beliau terpaksa dikejutkan ketika prosiding sedang berlangsung. Beliau juga berkata perkara itu tidak perlu dijadikan isu besar.

“Saya cuma pejam mata, tak perlulah jadikan isu besar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, ketika ditanya apakah beliau benar-benar tertidur.

Najib kelihatan tidak senang dan enggan menjawab soalan lanjut dari pihak media.

Terdahulu, The Edge melaporkan Najib tertidur di hadapan panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan hari ini.

Minggu lepas, ahli Parlimen itu meninggalkan kamar mahkamah tanpa pengetahuan pasukan peguamnya, sehingga menyebabkan sesi mahkamah tertangguh selama sepuluh minit.

Najib keluar dari kamar mahkamah ketika peguamnya, Harvinderjit Singh sedang berhujah di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Zabariah Mohd Yusof.

Zabariah kemudiannya menyedari Najib tidak berada dalam mahkamah dan bertanyakan kepada Harvinderjit yang sedang berhujah tentang anak guamnya itu.

Apabila prosiding disambung, peguam Muhammad Shafee Abdullah meminta maaf kepada panel hakim bagi pihak anak guamnya, berkata Najib tidak mengetahui perlu memaklumkan mahkamah jika mahu keluar kamar. β€“ 18 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen