Najib pergi tandas tak maklumkan hakim, mahkamah tertangguh 10 minit


Timothy Achariam

Najib Razak di Mahkamah Rayuan hari ini, prosiding tertangguh sepuluh minit selepas beliau ke tandas tanpa memaklumkan panel hakim bersidang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Mac, 2019.

TINDAKAN Najib Razak keluar kamar mahkamah untuk ke tandas tanpa kebenaran menyebabkan sesi prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini tertangguh sepuluh minit.

Bekas perdana menteri itu keluar kamar mahkamah tanpa memaklumkan pasukan peguamnya, ketika peguamnya Harvinderjit Singh sedang berhujah di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Zabariah Mohd Yusof.

Zabariah kemudiannya menyedari Najib tidak berada dalam mahkamah dan bertanyakan kepada Harvinderjit yang sedang berhujah tentang anak guamnya itu.

Harvinderjit berkata, beliau akan periksa, memaksa Zabariah menangguhkan sesi selama sepuluh minit.

Apabila prosiding disambung, Shafee Abdullah meminta maaf kepada panel hakim bagi pihak anak guamnya, menurutnya Najib tidak mengetahui beliau perlu memaklumkan mahkamah jika mahu keluar kamar.

“Kami minta maaf. Najib tak tahu (yang beliau perlu memaklumkan mahkamah sebelum pergi ke tandas).”

Shafee menambah yang anak guamnya tidak mahu menganggu prosiding dan hanya mahu bertindak “sopan”.

“Beliau tidak mahu menganggu prosiding, beliau hanya bersopan dengan keluar senyap-senyap dan tidak menganggu prosiding, beliau tidak tahu yang tidak boleh keluar (tanpa kebenaran).”

Mahkamah Rayuan sedang mendengar empat rayuan Najib berkaitan kes SRC International.

Beliau berdepan tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram mencecah RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu. – 14 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen