Kurang faham Islam punca melatah isu bin Abdullah, kata bekas mufti


Muzliza Mustafa

Bekas mufti Terengganu Ismail Yahya berkata masyarakat kurang faham hukum kemudian pantas pula mengecam mahkamah yang membuat keputusan sebagai mahkamah kafir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 September, 2017.

KURANGNYA pengetahuan tentang hukum serta undang-undang Islam adalah sebab mengapa umat Islam di Malaysia cepat melatah dalam isu mahkamah yang membenarkan anak tidak sah taraf membawa nama bapa dan bukannya memakai nama dengan bin atau binti Abdullah.

Bekas mufti Terengganu Ismail Yahya berkata, keputusan itu sebenarnya, tidak menjejaskan keharmonian negara apalagi struktur pentadbiran Islam.

Yang menjadi kecoh, menurut beliau, adalah kerana masyarakat kurang faham hukum kemudian pantas pula mengecam mahkamah yang membuat keputusan sebagai mahkamah kafir.

“Patut bertanyalah apa yang hakim itu sebut. Tiga puluh dua mukasurat hakim itu sebut. Bukan dia buat saja-saja,” kata Ismail yang ditemui selepas forum Anak Tak Sah Taraf - Bin Abdullah: Antara Stigma, Hak & Agama di Kuala Lumpur, hari ini.

Forum anjuran Sisters in Islam itu menampilkan empat anggota panel.

Ismail turut menyentuh tentang hukum syarak dan penerapannya dalam undang-undang dan penghakiman dalam isu “bin Abdullah”.

“Kalau nak menerapkan hukum syarak biar betul-betul hukum syarak. Sebab undang-undang pun sebut hukum syarak itu dari empat-empat mazhab. Kalau kita talak (tidak terima mazhab) Tamiyyah talaklah tapi kita masih ada Hanafi, Maliki semua, tapi sedikit sahaja bab ini disebut dalam Shafie,” kata Ismail.

Beliau juga berkata, bapa kandung yang dibinkan dengan anak luar nikah dan tidak layak jadi wali dalam perkahwinan bagi seorang anak perempuan, bukan sesuatu yang akan menimbulkan masalah.

“Apabila anak itu nak nikah besok… tak timbul isu. Kalau bapa tak boleh menjadi wali, pendaftar nikah nanti siasatlah betul-betul. Kalau betul tak boleh, keluarkan surat berwalikan raja atau saudara terdekat,” katanya.

Kerana itu, jelas beliau, pendaftar nikah perlu arif tentang hukum agama dan bukan hanya bergantung dengan sijil kursus kahwin.

Kata beliau lagi, ini bukan soal menentang agama kerana beliau juga orang agama dan pernah berkhidmat sebagai mufti selama dua tahun. 

Beliau turut berkata keputusan Mahkamah Rayuan awal bulan lepas adalah contok terbaik dalam melindungi hak anak tidak sah taraf.

Sementara itu, peguam syariah dan sivil Ahmad Munawir Abdul Aziz berkata isu menggunakan nama bapa kandung itu tidak mengubah status anak dari segi undang-undang.

“Isunya di sini adalah sama ada anak tidak sah taraf dibenarkan menggunakan nama bapa sebenar. Ia tidak mengubah posisi anak itu sebagai orang Islam,” kata Munawir.

Menurut beliau pada dasarnya, mereka yang menentang penggunaan nama bapa ini hanya melihat dari aspek perundangan tanpa memperdulikan aspek moral.

“Bila saya menyentuh tentang moral, ia juga mengenai aspek kerohanian dalam pandangan Islam,” kata Munawir. 

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat membenarkan permohonan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merayu keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini, yang memutuskan anak luar nikah beragama Islam boleh dinamakan dengan bin atau binti bapanya.

Peguam syariah dan sivil Ahmad Munawir Abdul Aziz berkata isu menggunakan nama bapa kandung itu tidak mengubah status anak dari segi undang-undang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 September, 2017.

Mahkamah Persekutuan juga akan memutuskan sama ada peruntukan undang-undang yang menyatakan anak luar nikah dibinkan dengan nama bapanya, terpakai atau tidak pada orang Islam.

Peruntukan itu ialah Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Md Raus Sharif juga membenarkan tiga persoalan perundangan dibangkitkan, dengan isu bidang kuasa akta berkenaan sebagai persoalan utama. 

Seksyen 13A menyatakan “(1) Bagi anak sah taraf, nama bapa kandung akan dijadikan nama keluarganya, (2) Bagi anak tidak sah taraf, nama ibu (nama ibu yang secara sukarela memberi maklumat tentang dirinya) boleh diletakkan sebagai nama keluarga dengan syarat orang yang mengaku dirinya menjadi bapa kanak-kanak itu mengikut Seksyen 13 meminta berbuat demikian”.

Tiga persoalan itu adalah:

1. Sama ada pendaftar kelahiran dan kematian boleh merujuk sumber perundangan Islam ketika membuat pendaftaran kelahiran anak beragama Islam.

2. Sama ada mahkamah sivil boleh menentukan soalan atau perkara berkaitan keabsahan anak beragama Islam, dalam soal pemberian nama dan nasab.

3. Sama ada Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 untuk pendaftaran anak beragama Islam membolehkannya dibinkan dengan individu yang mengaku sebagai bapanya.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2003 memutuskan anak luar nikah atau istilahnya anak tak sah taraf tidak boleh membawa orang yang mengaku bapanya, jika anak itu dilahirkan kurang enam bulan daripada perkahwinan.

Dalam kes yang menarik perhatian umum ini, anak berkenaan lahir lima bulan dan 24 hari selepas perkahwinan ibu bapanya. Kanak-kanak itu sekarang berusia tujuh tahun.

Mahkamah Rayuan pada Julai 2017 memutuskan JPN tidak terikat dengan fatwa berkenaan. – 9 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Bukan masyarakat yang tidak faham keputusan penguam2, tetapi pihak berkuasa termasuk DPM kita yang tidak faham. Mereka lah orang 2 yang tidak faham Islam.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan