Pemimpin bukan Islam kecewa pertemuan Mujahid-Zakir Naik


Sheridan Mahavera

Pertemuan antara Dr Mujahid Yusof Rawa dan penceramah kontroversi warga India Dr Zakir Naik dimuat naik ke Facebook menteri di Jabatan Perdana Menteri itu baru-baru ini. – Gambar Facebook, 15 Mac, 2019.

PEMIMPIN Kristian dan Hindu bingung dengan menteri hal ehwal agama Dr Mujahid Yusof Rawa susulan kenyataan dibuatnya selepas pertemuan dengan Dr Zakir Naik kerana ia dilihat seperti membenarkan dakwah dibawa oleh pendakwah kontroversi itu.

Mereka berkata Mujahid dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sepatutnya lebih sensitif dengan perasaan bukan Islam terutama pada sekarang di mana kerajaan menghukum mereka yang menghina Islam.

Pemimpin bukan Islam yang dulu pernah menganggap menteri di Jabatan Perdana menteri itu sebagai seseorang yang moderat dan berfikiran terbuka kini mempersoalkan adakah Mujahid akan menunjukkan toleransi sifar kepada kepelbagaian agama di negara ini.

Pandangan mereka disokong oleh ratusan pengguna media sosial yang menulis pelbagai kritikan di akaun Facebook rasmi Mujahid kerana pertemuannya dengan Dr Zakir, yang diharam daripada berdakwah di beberapa daerah kerana komennya terhadap agama lain.

Bagaimanapun, nampaknya ada lebih ramai yang menyokong pertemuan Mujahid itu apabila post menteri itu berkenaan program berkenaan mendapat 6,000 likes dalam tempoh kurang 48 jam.

Pengkritik berkata Mujahid sendiri pernah mengatakan kaedah Dr Zakir “tidak sesuai” untuk Malaysia, dan mengatakan menteri itu melakukan “pusingan U” terhadap pendiriannya yang terdahulu.

“Bukan ke itu hari Dato Seri Dr Mujahid kata dakwah Dr Zakir naik tak sesuai di Malaysia? kata Dato seri, beliau mencaci agama lain? Mohon penjelasan..” tulis seorang pengguna Facebook menggunakan nama Niss Moe di post Mujahid.

Pada September lalu, Mujahid yang sudah pun dilantik sebagai menteri pada masa itu menyifatkan kaedah Dr Zakir sebagai mencaci agama lain dan ia tidak sesuai untuk Malaysia.

Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia Dr Herman Shastri berkata paling mengelirukan ialah apabila pendirian terbaru Mujahid terhadap Dr Zakir boleh dilihat sebagai memberi kebenaran kepada dakwah kontroversinya.

“Ekstremisme agama tidak ada tempat dalam mana-mana masyarakat pun, dan kami akan tunggu untuk lihat adakah menteri itu akan memberikan toleransi sifar kepada kepelbagaian agama di negara ini, terutama jika ia daripada ulama Islam,” kata Shastri kepada The Malaysian Insight.

Presiden Hindu Sangam Malaysia R S Mohan Shan berkata masyarakat kecewa dengan Dr Zakir kerana kenyataannya tentang Hindu dan sebelum ini pernah menghantar petisyen kepada kerajaan untuk menghantarnya pulang ke India di mana beliau dikehendaki atas tuduhan penggubahan wang haram dan menyokong keganasan. – 15 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen