PENDAKWAH kontroversi Dr Zakir Naik mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini.
Mujahid, yang merupakan menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam memuat naik gambar pertemuan itu di Facebook petang ini.
Beliau menyifatkan Dr Zakir, yang menyebarkan dakwah ke seluruh dunia, sebagai satu inspirasi.
“Semoga Allah SWT memperteguh usaha dakwah beliau untuk membimbing manusia mengenali Islam.”
Dr Zakir, yang dikehendaki atas beberapa pertuduhan di negaranya di India, kini tinggal di Malaysia. Beliau diberikan taraf pemastautin tetap pada 2012 oleh kerajaan Barisan Nasional.
New Delhi menuntut untuk ekstradisi beliau bagi membolehkan pendakwah itu menghadapi pertuduhan, termasuk menghasut merosak keharmonian. Pihak berkuasa India turut membatalkan pasport beliau dalam usaha untuk memaksa beliau pulang.
Dr Zakir, yang mempunyai rancangan televisyen sendiri dan pengikut Facebook yang ramai, menjadi subjek penyiasatan di India dan Bangladesh selepas dua suspek dalam serangan keganasan pada tahun 2016 di Dhaka, yang menyebabkan 22 orang mati, berkata mereka telah diilhamkan oleh “dakwah radikalnya “.
Kumpulan sivilnya, Islamic Research Foundation, turut disiasat kerana penggubahan wang haram.
Dr Zakir secara konsisten mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya, menafikan dakwaan bahawa beliau menggalakkan keganasan atas nama Islam.
Dalam satu kenyataan Julai lalu, beliau menuduh media menggunakan klip video yang diubah dan petikan yang diambil dari luar konteks, serta “cara tidak jujur” yang lain untuk membuatnya kelihatan bersalah atas kegiatan berkaitan keganasan, ucapan kebencian dan pengubahan wang haram.
Beliau memuji Dr Mahathir Mohamad kerana membenarkan beliau tinggal di Malaysia selepas perdana menteri menolak permintaan ekstradisi India atas dasar bahawa Dr Zakir tidak membahayakan negara. – 13 Mac, 2019
Komen