BEBERAPA sebatian kimia yang ditemui dalam sisa toksik yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor adalah bersifat karsinogen yang boleh menyebabkan kanser, masalah pernafasan dan iritasi pada kulit, kata pakar.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin mengenal pasti sebatian kimia itu sebagai metana, hidrogen klorida, akrilonitril, akrolin, benzene, toluene, xylene and limonene.
Pensyarah pakar dalam kejuruteraan kimia memberitahu The Malaysian Insight, kecuali metana yang mampu menyebabkan kesan narkotik apabila dihidu, semua sebatian yang lain adalah beracun.
“Kecuali untuk metana yang mempunyai keupayaan menyebabkan kesan narkotik akibat penyedutan, sebatian yang lain adalah beracun. Hidrogen klorida dan akrilonitril terutamanya sangat menghakis pada saluran pernafasan dan boleh menyebabkan kerosakan organ,” kata profesor berkenaan yang enggan namanya disiarkan.
“Toluene, benzene dan akrilonitril adalah karsinogen dan boleh merosakkan organ dengan pendedahan yang berpanjangan. Perlu diingatkan bahawa akrolein adalah sebatian yang boleh menyebabkan kematian akibat pendedahan kepada paras serendah 10 ppm manakala konsentrasi akrilonitril yang mematikan melalui penyedutan adalah 2.09 ppm / 4 jam.”
Sementara itu, Ketua Program Bioteknologi, Fakulti Sains Hayat dan Kesihatan, INTI International University, Dr Geetha Subramaniam berkata, metana, benzene dan toluene bleh ditemui dalam kadar yang boleh dikesan di persekitaran kerana pelbagai aktiviti manusia.
Metana dan toulene kata Geetha, terhasil daripada asap kenderaan yang mana benzene boleh ditemui secara semula jadi dalam sebatian rendah di persekitaran.
“Bagaimanapun, dari kuantiti yang dilaporkan telah terdedah kepada orang di persekitaran terbabit, ia pasti akan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan masyarakat.”
Lebih 1,000 orang telah jatuh sakit setelah menghidu wasap beracun sejak 7 Mac. Statistik terkini menunjukkan bahawa 12 orang telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kesemua 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup sehingga arahan selanjutnya.
Menurut laporan, beberapa tan sisa toksik dibuang ke dalam sungai oleh pengendali kilang haram.
Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor berkata, sejumlah 2.43 tan sisa kimia berjaya dikumpulkan oleh beberapa agensi berkaitan pada hari pertama kejadian pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sejak 7 Mac.
15 pengendali kilang didakwa
Statistik daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan bahawa 15 operator kilang dituduh di mahkamah atas kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 antara 2013 dan 2018.
Seksyen 34B menetapkan larangan terhadap peletakkan dan mendepositkan bahan buangan terjadual.
Yeo sebelum ini berkata salah seorang daripada tiga suspek dalam kes pembuangan haram Sungai Kim Kim akan didakwa mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda RM500,000.
Bagaimanapun, dilaporkan semalam bahawa suspek masih belum didakwa kerana pihak pendakwaan ssedang mencari maklumat lebih lanjut ke dalam kes itu. – 15 Mac, 2019
Komen