2.43 tan sisa kimia dikumpul dari Sungai Kim Kim sejak Khamis lalu


SEJUMLAH 2.43 tan sisa kimia berjaya dikumpulkan oleh beberapa agensi berkaitan pada hari pertama kejadian pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Khamis lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Dr Sahruddin Jamal berkata sisa kimia itu dikumpulkan dari pagi hingga 11 malam.

Justeru, beliau berkata tidak timbul isu kerajaan negeri dan agensi terlibat lambat memberi tindak balas dalam menangani insiden berkenaan.

“Pihak berkuasa menerima laporan berhubung pembuangan sisa kimia itu pada pukul 5.15 pagi dan respons segera dibuat khususnya dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri.

“Pada 9.30 pagi, lokasi pembuangan ditemui dan kerja-kerja pembersihan awal terus dilakukan melibatkan beberapa agensi kerajaan yang berada di lokasi,” katanya kepada pemberita di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negeri di Menara Aqabah, di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata pada hari seterusnya iaitu 8 Mac, kerja pembersihan bagaimanapun terpaksa dihentikan berikutan pemakluman Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menyatakan sisa berkenaan merupakan bahan kimia berbahaya dan memerlukan kaedah pembersihan yang mematuhi peraturan keselamatan.

“Namun, semalam kerja pembersihan disambung semula oleh syarikat kontraktor pembersihan yang dilantik,” katanya.

Beliau berkata sejak hari pertama sehingga 8 malam tadi, seramai 947 orang awam menerima rawatan oleh agensi berkaitan.

Ini termasuk 82 individu yang dirawat di wad Hospital Sultan Ismail (HSI), 85 orang di wad Hospital Sultanah Aminah (HSA), 39 orang (wad KPJ Pasir Gudang), tiga orang di wad Regency Hospital dan lapan orang di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI. – Bernama, 14 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen