AHLI Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang menyokong gesaan supaya kerajaan mengisytiharkan darurat sekiranya keadaan semakin buruk di kawasan terjejas pencemaran sisa beracun di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata perintah darurat akan lebih memudahkan kerajaan Persekutuan menangani keadaan di kawasan terjejas.
“Sekiranya keadaan bertambah baik, tidak perlu (perintah darurat). Tetapi sekiranya keadaan tidak terkawal dan lebih kritikal, campur tangan kerajaan persekutuan perlu bagi membolehkan bantuan Persekutuan disalurkan untuk menangani keadaan.
“Kerajaan Johor sudah sediakan RM6.5 juta untuk menangani bencana tetapi lebih banyak bantuan boleh disediakan sekiranya kerajaan Persekutuan masuk.
“Kita perlu tangani keadaan dengan teratur supaya rakyat tidak panik,” katanya, membahaskan usul beliau di Dewan Rakyat, petang ini.
Usul mengikut Aturan 18(1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat itu menggesa kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang akibat pencemaran kimia beracun.
Pembuangan sisa beracun ke Sungai Kim Kim lebih seminggu lalu setakat ini menjejaskan ratusan penduduk Pasir Gudang terutamanya di pelajar sekolah yang terletak dalam lingkungan 15 kilometer dari lokasi kejadian.
Lebih 900 orang sudah dirawat sejak insiden bermula 7 Mac lalu, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. Daripada jumlah itu, 108 dimasukkan ke wad dengan 12 daripadanya dirawat di ke unit rawatan rapi dan dilaporkan stabil.
Malam tadi, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengarahkan semua 111 buah sekolah di seluruh Pasir Gudang ditutup berkuat kuasa serta merta sehingga diberitahu kelak.
Menurut Hassan, sekiranya bencana ini tidak ditangani dengan betul, ia boleh jadi “bom jangka” kerana ada banyak kilang kimia di Pasir Gudang, termasuk yang tidak berlesen.
“Pengurusan bencana ini mesti ditangani dengan baik. Kita perlu campur tangan kerajaan Persekutuan. Putrajaya tidak boleh lepas tangan.”
Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula berkata usaha menangani bencana ini berkejar dengan masa.
Beliau menggesa Putrajaya menggembleng semua sumber yang ada tanpa mengira kos, serta mahu kerajaan menimbangkan pampasan kepada mangsa.
“Saya sudah bercakap dengan Menteri Besar Johor dan beliau setuju,” katanya.
Beliau menambah isu seperti ini tidak harus melibatkan soal politik.
Ahmad juga mendesak hukuman tegas, termasuk penjara dan denda, ke atas dalang yang bertanggungjawab mencemar alam sekitar bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.
“Kalau dendanya RM500,000, saya rasa kilang-kilang itu akan bayar. Dendanya mesti dinaikkan ke RM1 juta atau lebih. Hukuman penjara juga ditingkatkan dari 5 tahun kepada mungkin 10 atau 15 tahun,” katanya.
Steven Choong (PH-Tebrau) yang juga menyokong usul Hassan berkata beliau yakin kerajaan Johor sudah sedia sekiranya diisytiharkan perintah darurat.
Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) juga menyokong usul yang dikemukakan Hassan.
Awal hari ini, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan perlu menimbang keperluan perisytiharan darurat untuk tidak mencetuskan suasana panik. – 14 Mac, 2019.
Komen