Semua sekolah di Pasir Gudang tutup, arah menteri pendidikan


Semua murid, guru, kakitangan dan pekerja di 111 sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah masing-masing sehingga situasi kembali pulih, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Mac, 2019.

SEMUA 111 sekolah di Pasir Gudang diarahkan tutup berkuat kuasa serta merta sehingga diberitahu kelak susulan insiden pencemaran sisa beracun di Sungai Kim Kim dipercayai gas metana minggu lalu, umum Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Sehubungan itu, semua murid, guru, kakitangan dan pekerja di semua sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah masing-masing sehingga situasi kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Maszlee juga memohon semua pihak agar mengambil langkah berjaga-jaga dan peka dengan arahan pihak berkuasa dari masa ke masa.

Kenyataan itu dikeluarkan 10.45 malam ini, lebih kurang sejak selepas Kementerian Pendidikan mengumumkan tambahan sembilan sekolah ditutup daripada 34 buah sebelum ini.

Sehingga 7 malam, jumlah sekolah yang ditutup meningkat 43 buah – sebelum arahan menteri yang seterusnya menutup semua 111 buah sekolah.

Kementerian Pendidikan juga memaklumkan, turut ditutup ialah Politeknik Ibrahim Sultan Pasir Gudang dan Kolej Komuniti Pasir Gudang.

Petang tadi, selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Menteri Besar Osman Sapian memberi jaminan keadaan semasa terkawal dan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan terlibat.

Beliau meminta orang ramai tidak panik, jangan membuat spekulasi dan berhenti menyebarkan maklumat tidak betul yang datang bukan daripada pihak berkuasa.

Katanya, fokus utama pihak berkuasa sekarang ialah mengawal pencemaran selain mengurus dan merawat mereka yang keracunan. Tiga kontraktor juga dijangka selesai membersihkan sungai terlibat dalam masa seminggu, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu 506 mangsa baharu pencemaran toksik di Sungai Kim Kim mendapatkan rawatan hari ini, menjadikan keseluruhannya kini berjumlah 975 orang.

Daripada jumlah itu, 166 dimasukkan ke wad dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi, lapor Utusan Online.

Agensi berita Bernama pula memetik Dr Dzulkefly mengingatkan penduduk setempat supaya mengelak daripada berada di kawasan kejadian serta memakai topeng muka jenis R95.

“Kita dapati antara beberapa faktor pencemaran kimia itu tersebar dengan kelajuan angin dan arah angin, dalam radius  lima kilometer pun boleh kena bahan bahaya toksik ini,” katanya.

Kerajaan Johor meluluskan peruntukan kecemasan RM6.4 juta bagi tujuan kerja-kerja pembersihan dan bantuan kepada mangsa serta keluarga dan kakitangan keselamatan yang terdedah bahaya.

Setakat ini, pihak berkuasa sudah menahan tiga orang termasuk dua pemilik kilang. Seorang daripada mereka akan didakwa di mahkamah esok, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Suspek akan didakwa mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan. – 13 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen