PEGAWAI kepada bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein didakwa terlibat dalam urus niaga tukar tanah milik angkatan tentera yang menyebabkan kerugian sehingga RM500 juta pada kementerian, kata Liew Chin Tong.
Timbalan menteri pertahanan itu berkata penglibatan pegawai tersebut dibongkar semasa penyiasatan Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan dipengerusikan bekas ketua audit negara, Ambrin Buang.
“Laporan itu mengaitkan pegawai yang bertugas dengan Hishammuddin pada masa itu terlibat dengan urus niaga (tukar tanah).
“Laporan itu sudah diserahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini.
Liew merujuk kepada dapatan jawatankuasa khas itu yang melaporkan kerugian Kementerian Pertahanan akibat 16 projek tukar tanah sejak 1997.
Projek itu merangkumi pembinaan empat kem tentera yang dikatakan atas tujuan politik, termasuk sebuah di Paloh dalam kawasan Parlimen Sembrong yang Hishammuddin adalah wakilnya di Dewan Rakyat.
Putrajaya membentuk jawatankuasa itu pada Jun 2018, sebulan selepas menang pilihan raya umum, bagi meneliti dan menyiasat isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara yang dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.
Susulan pendedahan jawatankuasa itu, Hishammuddin berkata tidak menyembunyikan apa-apa dan sedia disiasat.

Strategi politik, bukan strategi ketenteraan
Liew dalam pada itu berkata, urus niaga tukar tanah itu dilakukan semata-mata demi kepentingan politik Barisan Nasional (BN), dan bukannya bagi tujuan strategi ketenteraan.
“Dua kes yang ketara ialah kem Paloh yang terletak dalam kawasan pilihan raya Hishammuddin di Johor dan kem Hutan Melintang di Bagan Datuk, kawasan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Jelas beliau, dua lagi kem dibina di Segamat, Johor dan Bera, Pahang.
Kawasan Parlimen Segamat pada masa itu diwakili bekas presiden MIC Dr S Subramaniam, yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14, manakala Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob terpilih semula sebagai ahli Parlimen Bera.
“Empat kem ini dibina semata-mata atas tujuan politik. Ia dibina di kawasan kerusi marginal untuk mengukuhkan kedudukan BN.
“Paloh adalah satu-satunya kem yang mereka (BN) tidak sempat pindahkan pengundi.”
Jelas beliau, pemindahan kem itu tidak memberikan manfaat kepada negara kerana kerajaan sebelum ini menganggap kem tentera sebagai tabung undi pilihan raya dan membina kemudahan ketenteraan bukan untuk strategi pertahanan.
“Ini tidak akan diulang lagi dan kita akan lakukan apa saja untuk menghalangnya.
“Kem-kem tentera itu bukan sebahagian daripada strategi ketenteraan. Ia hanya untuk mendapat sokongan di kerusi marginal. Ada campur tangan politik untuk menguntungkan pemimpin.”
Tentera pindah
Menurut Liew, satu lagi isu yang perlu diberikan perhatian ialah tindakan pemaju yang berkehendak pada tanah kementerian bagi tujuan komersial.
“Mereka (pemaju) mahu tanah bandar di sesetengah tempat dan untuk itu, pasukan tentera terpaksa pindah.
“Pemaju yang mencadangkan tukar tanah. Bukannya tentera yang hendak pindah.
“Sebabnya tanah itu di tengah bandar dan nilainya tinggi.”
Akibatnya, kata Liew, pasukan tentera terpaksa pindah ke kawasan ceruk yang dekat dengan hutan.
“Ini antara kritikan utama Ambrin dalam laporannya mengenai kes tukar tanah yang berlaku dari tahun ke tahun.”
Beliau memberikan contoh bagaimana Istana Negara yang lama – sekarang Muzium Diraja di Jalan Istana, Kuala Lumpur – serta kediaman rasmi ketua angkatan tentera dan menteri pertahanan terpaksa dipindahkan selepas pangkalan udara Sungai Besi ditutup.
Semua tempat yang beliau sebut itu terletak berdekatan dengan bekas Kem Sungai Besi.
“Ketika ia dirancang bertahun-tahun dulu, pertimbangannya ialah dalam keadaan cemas, pangkalan udara Sungai Besi boleh menjadi pusat pemindahan bandar.
“Tetapi hari ini kerana 1Malaysian Development Berhad ambil alih tanah, tentera terpaksa berpindah ke Sendayan di Seremban.” – 10 Mac, 2019.
Komen