HISHAMMUDDIN Hussein hari ini mengalu-alukan siasatan terhadap urus niaga tanah Kementerian Pertahanan yang didakwa menyebabkan kerugian RM500 juta, berkata tidak ada apa-apa yang disembunyikannya.
Bekas menteri pertahanan hari ini berkata beliau mengalu-alukan hasil siasatan jawatankuasa khas yang melaporkan kerugian yang berlaku dalam 16 projek pertukaran tanah sejak 1997.
“Saya memang konsisten sejak dulu, saya tidak ada apa yang hendak disembunyikan,” katanya di Facebook.
Penipuan itu didedahkan oleh Jawatankuasa Siasatan Khas (SIC) yang dipengerusikan oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang untuk menyiasat prosedur perolehan dan pentadbiran kerajaan.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata siasatan jawatankuasa itu menemui 16 projek tukar tanah membabitkan 1,183 hektar tanah milik kementerian itu, bernilai RM4.756 bilion dan kos projek RM4.886 bilion.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dapatan siasatannya terhadap projek kem Paloh di Johor dan Hutan Melintang, Perak.
Pemimpin Umno termasuk Hishammuddin yang juga ahli Parlimen Sembrong, Ahli Parlimen Bagan Datuk Ahmad Zahid Hamidi didakwa mendapat manfaat daripada lebihan pengundi tentera di kawasan mereka. Anggota tentera dijangka mengundi untuk Barisan Nasional.
“Ada bukti arahan politik dan penglibatan secara langsung pihak SPR dalam usaha memindah dan menambah pengundi tentera dan keluarga mereka di kedua-dua kem yang melibatkan kedua-dua Parlimen tersebut,” kata pegawai khas kepada Mohamad, Nasaie Ismail.
Hishammuddin tidak mengulas tentang tuduhan itu di Facebook.
Katanya, siasatan lanjut terhadap kementerian juga dialu-alukan kerana bukan lagi rahsia yang kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu mengorek semua kekotoran dilakukan kerajaan terdahulu, berbanding mentadbir negara.
Beliau menolak dapatan SIC sebagai “hanya gangguan” untuk menyembunyikan fakta bahawa kerajaan tidak melakukan kerja dengan baik.
“Namun, saya ulangi sekali lagi – sudah tiba masanya untuk menteri (Mohammad Sabu) mentadbir.
“Mereka sudah berkuasa selama 10 bulan sekarang.”
Hishammuddin menggesa PH untuk hentikan berpolitik dan fokus pada rakyat. – 21 Februari, 2019.
Komen