Kes projek kem tentera di Sembrong, Bagan Datuk diadu ke SPRM


Kes pembinaan kem tentera di Parlimen Sembrong dan Bagan Datuk yang dijalankan semasa pentadbiran BN diadukan ke SPRM hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2019.

KES pembinaan kem tentera di kawasan Parlimen Sembrong dan Bagan Datuk yang dijalankan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) diadukan kepada agensi anti rasuah hari ini.

Laporan oleh seorang pegawai Menteri Pertahanan Mohamad Sabu itu antara lain membangkitkan mengenai dakwaan campur tangan politik, kecuaian urus tadbir dan pelaksanaan.

Ia turut mengaitkan penglibatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) waktu itu untuk menambah bilangan pengundi tentera dan juga keraguan dalam penilaian harga tanah.

Pegawai tugas khas kepada Mohamad, Nasaie Ismail berkata perkara itu serius kerana melibatkan kerugian besar ditanggung kerajaan dan mengancam kepentingan strategik pertahanan negara.

Laporannya menyatakan butiran mengenai tanah yang sepatutnya diguna untuk pembinaan Kem Kinrara di Selangor dan Kem Rasah di Negeri Sembilan.

Tanah itu ditukar dengan melibatkan pihak swasta untuk membina kem di Hutan Melintang dalam kawasan Bagan Datuk dan kem Paloh dalam kawasan Sembrong.

Bagan Datuk dan Sembrong masing-masing diwakili Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein, Kedua-duanya ahli Parlimen Umno itu merupakan bekas menteri pertahanan.

Menurut Nasaie, kedua-dua kem Paloh dan Kem Hutan Melintang pada asalnya tidak termasuk di dalam perancangan Kementerian Pertahanan dalam Rancangan Malaysia ke-11(RMK11). 

“Namun arahan dikeluarkan untuk membina kedua-dua kem tersebut dipercayai dilakukan atas faktor-faktor politik. 

Pada asalnya pihak Kementerian Pertahanan ketika itu merancang untuk membina Kem 1 Briged di Port Dickson sebagai salah satu gantian kepada tapak Kem Kinrara secara Land Swap. 

“Namun dibatalkan dan digantikan dengan pembinaan Kem Paloh dalam parlimen Sembrong, Johor.

“Padahal pembinaan Kem 1 Briged di Port Dickson lebih diperlukan kerana kem sedia ada di Rasah sangat usang, katanya.

Jelasnya, perkara sama juga dikesan dalam kes Kem Hutan Melintang di kawasan Parlimen Bagan Datuk

“Terdapat bukti arahan arahan politik dan penglibatan secara langsung pihak SPR dalam usaha memindah dan menambah pengundi tentera dan keluarga mereka di kedua-dua kem yang melibatkan kedua-dua parlimen tersebut,” katanya.

Jelasnya, penilaian tanah itu menimbulkan keraguan kerana ditetapkan oleh perdana menteri waktu itu Najib Razak dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi waktu itu.

“Nilai tanah tapak Kem Kinrara berjumlah RM500 juta. Sedangkan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) ialah RM758 juta. 

“Penilaian oleh pihak JPPH dan penetapan harga oleh pihak kerajaan tersebut berlaku di waktu yang sama iaitu pada Mei 2015. 

“Oleh itu, tidak timbul perbezaan harga tersebut disebabkan oleh perubahan masa yang menyebabkan nilainya lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, tanah untuk Kem Paloh juga diarahkan dibeli dengan harga harga 43 peratus lebih tinggi daripada nilaian semasa iaitu RM 10.47 juta bagi 62 ekar tanah. 

Penilaian dilakukan oleh pihak JPPH ke atas tanah itu hanyalah RM7.28 juta, katanya.

Jelasnya penilaian harga yang tinggi daripada penilaian semasa itu aneh kerana kerajaan membina kem tersebut dengan kaedah Land Swap kerana kekurangan sumber.

Pelaksanaan projek itu juga meragukan kerana kedua-duanya diarahkan untuk dimulakan pembinaannya walau kontrak diantara kerajaan dan syarikat belum dimuktamadkan dan ditandatangani.

“Begitu juga kebenaran merancang dan memasuki tapak belum diperolehi dari PBT (pihak berkuasa tempatan) ketika mana kedua-dua projek sudah dijalankan,” katanya.

Katanya, kedua-dua projek ini menyebabkan kepentingan dan keselamatan anggota tentera serta matlamat untuk memperkukuhkan ketenteraan terabai.

Dua projek kem itu merupakan antara 16 kes penukaran melibatkan 1,200 hektar tanah bernilai RM4.756 bilion dengan jumlah kos projek RM4.886 bilion.

Audit yang dijalankan Jawatankuasa Siasatan Khas diwujudkan oleh PH mendapati wujud campur tangan politik dalam skandal itu.

Bekas perdana menteri Najib Razak adalah menteri pertahanan pada 2008 apabila Mindef meluluskan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah miliknya kepada syarikat milik tiga individu.

Perkara itu dibongkar oleh bekas menteri Kabinet Rafidah Aziz. – 21 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen