PUTRAJAYA perlu memberikan perlindungan serupa kepada bukan Islam seperti diberikan kepada Islam, daripada serangan dan hinaan di media sosial atau platform lain yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni, kata kumpulan antara agama.
Presiden Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikhisme dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) R.S. Mohan Shan berkata sepatutnya perlu ada unit yang sama seperti unit khas kerajaan untuk memantau sebarang perlakuan menghina Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa mengumumkan penubuhan unit khas itu, yang akan dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Mohan berkata unit seperti itu untuk agama bukan Islam amat penting kerana amat sedikit tindakan diambil terhadap umat Islam yang menghina agama lain.
“Jika mereka hina Islam, serta-merta tindakan diambil, tetapi bagaimana pula dengan bukan Islam yang dihina?
“Jika mereka (Jakim) akan ambil tindakan dan membuat laporan kepada polis berkenaan hinaan, maka kami juga perlu boleh buat benda yang sama.
“Kami mahu semuanya adil. Jika Hindu hina Islam, kami juga akan buat laporan,” kata Mohan kepada The Malaysian Insight.
Beliau juga mencadangkan unit khas itu bekerjasama dengan majlis berkenaan untuk memastikan hinaan didakwa dilakukan oleh bukan Islam itu benar-benar tulen atau tidak.

Katanya, MCCBCHST boleh bertindak sebagai badan rujukan untuk pengesahan seperti itu.
“Terdapat banyak juga kumpulan Islamik dan agama lain menghina kepercayaan orang lain. Kami boleh bantu mengesahkan sama ada ia hinaan atau bukan. Kami boleh beri nasihat atau jadi badan rujukan.”
Mohan berkata demikian mengulas tentang pengumuman Mujahid berhubung penubuhan unit baharu itu susulan beberapa kes terbaru tentang hinaan terhadap Nabi Muhammad di media sosial.
Unit itu bertanggungjawab menerima aduan dan kemudian membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Orang ramai boleh juga membuat laporan di [email protected] atau menghantar mesej WhatsApp kepada 010-300 52 60.
Mohan berkata majlis itu akan mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua badan agama lain bagi membincangkan unit baharu itu.
“Kami mahu bekerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara tentang perkara ini kerana kami tidak ada kapasiti atau dana seperti Jakim.”
Lebih 900 laporan polis dibuat di seluruh negara tentang pelbagai kes membabitkan hinaan dibuat terhadap Islam, Nabi Muhammad dan isterinya Aishah.
Polis membuka 16 kertas siasatan.
Mujahid juga teruk dikritik sejak beberapa minggu ini kerana didakwa tidak mengambil langkah terbaik dalam mempertahankan Islam ketika berdepan hinaan terbaru itu.
Rabu lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun kerana menghina Islam dan nabi di Twitter.
Minggu lalu, seorang suspek berusia 29 tahun ditahan di Labuan dan direman, sementara seorang lagi suspek berusia 22 tahun ditahan di Bau, Sarawak. – 8 Mac, 2019.
Komen