Putrajaya tubuh unit pantau hina agama Islam, kata Mujahid


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata kerajaan menubuhkan unit memantau perlakuan hina agama Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2019.

KERAJAAN menubuhkan sebuah unit memantau perlakuan hina agama Islam, umum Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof, susulan beberapa kes menghina Nabi Muhammad dan perbuatan mempersendakan agama Islam sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata unit seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu akan memantau penulisan atau provokasi yang bersifat menghina agama Islam di semua media, termasuk media sosial.

Katanya, unit itu juga sedia menerima aduan berkaitan penghinaan ke atas Nabi Muhammad dan Islam, serta membuat laporan lanjut kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya berharap kita semua dapat berganding bahu bagi menjaga dan mengekalkan keharmonian negara kita.

“Saya percaya, pihak berkuasa melakukan tindakan sewajarnya untuk menangani isu ini,” kata Mujahid dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook, hari ini.

Menteri agama itu juga sekali lagi menegaskan beliau sama sekali tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan hina Nabi Muhammad dan Islam.

“Negara kita mempunyai undang-undang. Pihak yang bersalah mesti dijatuhkan hukuman yang setimpal,” katanya.

Kerajaan dan Pakatan Harapan sebelum ini dikritik oleh pembangkang Umno dan PAS serta orang Melayu dan Islam kerana dianggap bersikap tidak acuh terhadap beberapa insiden hina agama Islam sejak kebelakangan ini.

Jumaat lalu, selepas menyertai perhimpunan bantahan di luar Masjid Negara di Kuala Lumpur, Pemuda Umno memberi amaran akan mengadakan perhimpunan lebih besar sekiranya kerajaan tidak menangani isu ini dengan lebih serius.

Minggu lalu, dua lelaki didakwa berasingan di mahkamah atas tuduhan membuat kenyataan jelik menghina Nabi Muhammad.

Minggu ini pula, polis menahan empat suspek yang didakwa menyebarkan mesej berbaur penghinaan ke atas Nabi Muhammad dan agama Islam melalui platform Facebook.

Tiga suspek ditahan reman sejak Isnin dan dijadualkan berakhir hari ini, sementara seorang lagi ditangkap petang semalam dan direman mulai hari ini.

Semua mereka disiasat bagi kesalahan berbuat khianat dengan mengapi-apikan kaum serta penggunaan tidak wajar kemudahan Internet mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kelmarin, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mendedahkan pihak polis menerima 929 laporan di seluruh negara setakat Selasa berhubung kes hina agama dan membuka 16 kertas siasatan.

Akhir bulan lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim mengarahkan semua isu berkaitan hina agama, kaum dan institusi beraja dikendalikan pasukan khas Bukit Aman untuk siasatan dan pendakwaan segera.

Semua kes yang dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas itu juga dilaporkan terus kepada Fuzi dan Noor Rashid. – 7 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • YB, jangan terikut2 dgn tari PAS. Yang menghina Nabi ni dijelaskan dalam al Quran. Lebih baik lagi rakyat dididik menghormati satu sama lainsama ada sama ugama atau lain agama.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan