MAJLIS Tertinggi (MT) Umno akan bermesyuarat petang ini antara lain membincangkan hala tuju Barisan Nasional (BN) selepas dua parti komponen MCA dan MIC mengulangi kenyataan mahu gabungan politik itu dibubarkan, kata anggota badan itu.
Ahli MT Umno Armand Azha Abu Hanifah bagaimanapun meminta semua pihak bertenang sementara cadangan MCA dan MIC itu dipertimbangkan dengan teliti terlebih dahulu.
“Majlis Tertinggi Umno akan bersidang (hari ini) bagi membincangkan isu BN ini.
“Saya mohon semua bersabar dan istiqamah sehingga selesai mesyuarat MT, Khamis ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sebelum ini MCA dan MIC menyuarakan rasa kurang senang terhadap kenyataan Setiausaha Agung BN Mohamed Nazri Aziz semasa berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang ditandatangani bersama, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC S A Vigneswaran berkata kenyataan Nazri itu berbaur perkauman dan menghancurkan asas hormat menghormati dalam BN.
Mereka juga berkata hilang percaya pada Nazri dan dua parti itu tiada pilihan selain mempertimbangkan sebuah pakatan politik baharu.
BN yang mempunyai 13 komponen sebelum PRU14 kini hanya dianggotai tiga parti – Umno, MCA dan MIC, sama asas pembentukan asalnya sejak Merdeka.
Semua komponen lain termasuk masing-masing empat di Sabah dan Sarawak keluar meninggalkan BN selepas PRU14.

MCA dan MIC juga mempertikaikan pelantikan Nazri sebagai setiausaha agung BN kerana tidak dibincangkan dengan mereka. Dua parti itu mengugut tidak akan datang ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN esok sekiranya Nazri hadir.
Dalam reaksi segera semalam, Nazri berkata beliau tidak akan datang kerana tidak mahu mengganggu perjalanan mesyuarat pada Jumaat.
Armand yang juga ketua Umno Bahagian Subang, mempertahankan Nazri, yang katanya, hanya mulutnya saja lantang tetapi masih setia dengan parti.
“Masih setia dalam Umno dan tidak pun melompat keluar parti sertai parti lawan. Seteruk-teruk dia, dia masih menyumbangkan satu kerusi Parlimen kepada BN dalam PRU14.
“Saya mohon semua sabar, istiqamah dan berikan kepimpinan cari jalan penyelesaian yang terbaik buat BN dan Umno,” katanya.
Hubungan tiga parti yang masih kekal membentuk BN itu kini teruji apabila Umno minggu ini mengumumkan kerjasama secara rasmi dengan parti Islam PAS, demi perpaduan Melayu dan Islam tanpa meminggirkan kaum bukan Melayu dan bukan beragama Islam.
Selepas mesyuarat pemimpin tertinggi kedua-dua parti pada Isnin, Umno dan PAS mengumumkan sebuah jawatankuasa bersama yang akan membincangkan bentuk kerjasama dua parti itu untuk masa depan. Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama masing-masing seorang naib presiden dari Umno dan PAS.
Umno dan PAS sebelum ini bekerjasama dalam beberapa pilihan raya umum sejak Ogos lalu, sehingga membawa kemenangan kepada BN di Cameron Highlands dan Semenyih. – 7 Mac, 2019.
Komen