Mesyuarat BN pada Jumaat, Nazri kata tak datang


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung BN Nazri Aziz kini menerima desakan MCA dan MIC supaya berundur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Mac, 2019.

NAZRI Aziz berkata beliau tidak akan menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas dua parti komponen BN-MCA dan MIC- mengugut tidak akan hadir mesyuarat sekiranya Nazri yang juga setiausaha agung BN itu hadir.

Nazri menjelaskan keputusan itu dibuat kerana beliau tidak mahu menganggu mesyuarat yang diadakan.

“Mesyuarat mungkin tidak dapat dijalankan kerana kenyataan MCA dan MIC yang mengatakan kalau saya datang, mereka tidak datang…jadi saya tidak datang supaya mesyuarat boleh berjalan,” kata  Nazri, ketika sidang media diPusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, MCA dan MIC perlu diberi peluang membangkitkan isu pelantikannya sebagai setiausaha agung BN dalam mesyuarat itu 

“MCA perlu diberi peluang berkenaan cadangan mereka supaya kita boleh bincang, tidak boleh tergantung isu ini terlalu lama dan saya tidak boleh menjadi sebab mesyuarat tidak dapat berjalan. Kita perlu selesaikannya.

“Saya juga nak MCA dan MIC bangkitkan isu pelantikan saya supaya ia boleh dibincangkan secara rasmi dan minta saya letak jawatan sebab mereka tak setuju,” katanya.

MCA dan MIC mula menyelar Nazri susulan kenyataan dikeluarkannya pada kempen PRK Semenyih lalu, yang dakwa mereka berunsur perkauman dan tidak hormat parti komponen BN. 

Nazri hari ini menambah, beliau pada mulanya berhasrat untuk tetap hadir mesyuarat Dewan Tertinggi BN untuk membolehkan beliau mempertahankan dirinya.

“Mula-mula saya nak datang sebagai ‘gentelmen’ lebih baik kita duduk bersemuka dan mereka boleh kata mereka tak mahu saya, kalau ada tuduhan kepada saya, boleh saya pertahankan diri saya.

“Saya tidak ada sebarang masalah jika saya ditolak, saya tak ada masalah dikeluarkan. Saya mahu bangkitkan soal pelantikan dan bincangkan dalam mesyuarat itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Nazri juga berkata beliau tidak akan meletak jawatan, tetapi menerima sekiranya Dewan Tertinggi BN “mengeluarkannya” daripada jawatan.

“Saya tak mahu ditolak keluar. (Tetapi) Okay, jika mereka keluarkan saya dalam mesyuarat itu,” katanya.

Tambahnya, jawatan setiausaha agung BN sebelum ini ditawarkan kepada Khairy Jamaluddin tetapi ahli Parlimen Rembau itu menolaknya.

“Selama enam bulan tiada siapa mahukan jawatan ini. Kemudian Ahmad Zahid tawarkan kepada saya, jadi saya ambil,” katanya.

Nazri berkata, beliau menerima jawatan itu selepas Zahid yang merupakan pengerusi BN- kini sedang berehat- mengumumkannya pada Persidangan Agung Tahunan MIC tahun lepas.

“Semua perwakilan MIC bersorak (menyambut pelantikan) saya ketika ia diumumkan. Selepas empat bulan mereka kata tak diajak berbincang pula, saya tak tahu apa mereka kata,” katanya.

Beliau berkata, tanpa kehadirannya, BN boleh berbincang berkenaan resolusi MCA untuk membubarkan parti itu.

“Kalau saya menjadi halangan kepada mereka hadir, saya tidak akan hadir supaya mesyuarat boleh diteruskan. Antaranya mesyuarat boleh benarkan MCA bentang mereka punya resolusi untuk bubarkan BN.

“Setuju atau tidak setuju saya tak tahulah. Keputusan dibuat oleh parti bukan individu,” kata Nazri. – 6 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen