SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN) Nazri Aziz tidak layak menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada Jumaat ini, kata MCA dan MIC.
Mereka berkata ini kerana pelantikan Nazri tidak mengikut perlembagaan parti.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC S.A. Vigneswaran berkata di bawah perlembagaan BN, pelantikan setiausaha agung mestilah mendapat persetujuan Majlis Dewan Tertinggi.
Mereka juga berkata tidak akan menghadiri mesyuarat pada Jumaat ini jika Nazri bertegas mahu hadir.
Wee dan Vigneswaran berkata pelantikan Nazri tidak pernah dibincang atau mendapat persetujuan rasmi dalam Dewan Tertinggi BN walaupun ia diumumkan oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Oktober tahun lalu.
“Sekiranya Nazri berdegil dan hadir ke Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, maka kesahihan mesyuarat tersebut akan dipertikaikan.
“Demi mengelakkan sebarang pertikaian dari segi undang-undang, MCA & MIC hanya akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang sah.”
MCA dan MIC bertikam lidah dengan Nazri berhubung ucapannya yang berbaur perkauman pada kempen Pilihan Raya Kecil Semenyih.
Wee dan Vigneswaran menyifatkan tindakan Nazri itu tidak menghormati kdua-dua parti komponen BN itu.
Nazri kemudian berkata BN tidak akan rugi jika MCA dan MIC keluar dari gabungan itu.
“Semalam, sekali lagi Nazri menggunakan gelaran sebagai setiausaha agung BN dan seperti biasa meneruskan kritikan terhadap MCA dan MIC.
“Pendirian MCA dan MIC ialah Nazri tidak mempunyai “locus standi” untuk membuat sebarang kenyataan atas kapasiti sebagai setiausaha agung BN.
“Oleh yang demikian, kedua-dua parti telah menyampaikan pendirian yang jelas kepada Urusetia Barisan Nasional bahawa Nazri tidak layak untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada Jumaat ini,” menurut kenyataan bersama itu.
MCA selepas perhimpunan agungnya bulan lepas menggesa supaya BN dibubarkan, ekoran gabungan itu kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun. – 5 Mac, 2019.
Komen