RAKYAT Kelantan yang memilih PAS sebagai kerajaan sejak 1990 enggan percaya pemimpin tertinggi parti Islam itu terpalit dengan skandal rasuah selagi ia tidak terbukti di mahkamah.
Wan Idris, 58, dari Kota Bharu yakin semua tuduhan itu dilemparkan kepada PAS kerana parti itu lantang memperjuangkan hak Melayu dan Islam menyebabkan jadi mangsa fitnah.
“Kita faham perjuangan PAS mempertahankan Melayu dan Islam tidak akan disenangi sesetengah pihak,” kata pesara itu kepada The Malaysian Insight.
“Bila kita nak mempertahankan agama, inilah dugaannya,” tambah beliau.
Menurut Wan, serangan ke atas PAS kali sangat dahsyat tetapi beliau tidak fikir ia akan mempengaruhi penyokong parti Islam itu di Kelantan, negeri yang dikuasainya sejak 1990.
“Saya lihat serangan kali ini maha dasyat, betapa PAS teruk difitnah,” katanya.

Beberapa pemimpin tinggi PAS kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima dana RM90 juta dari Umno yang dikatakan ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dakwaan itu pertama kali didedahkan oleh Sarawak Report pada Ogos 2016. Ia kemudian muncul semula melalui rakaman suara Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang tersebar kira-kira dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Beberapa pemimpin tinggi PAS sudah dipanggil untuk disiasat oleh agensi anti rasuah, antaranya Mursyidul Am, Hashim Jasin; Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan; Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohd Nasir Daud dan Nik Abduh sendiri.
SPRM turut membekukan lima akaun bank, yang dilaporkan ada kaitan dengan bekas timbalan presiden parti Nasharuddin Mat Isa.
Kelantan disifatkan sebagai kubu kuat PAS selepas gagal dirampas oleh pesaing utamanya Umno sejak lebih tiga dekad lalu.
Pengundi muda Arif Shah, 27, juga berkongsi pandangan sama bahawa kes yang sedang disiasat SPRM ini tidak akan akan menjejaskan keyakinan penyokong PAS.
“Orang yang tak biasa dengan PAS mungkin akan percaya. Tapi kami tidak (percaya) sebab dari dulu memang kita tahu PAS selalu jadi mangsa fitnah,” kata pekerja dobi itu.

Arif berkata rata-rata penyokong PAS sebenarnya tidak terlalu ingin ambil tahu mengenai hal itu.
“Adalah masa awal-awal baca terkejut sikit tapi SPRM dah keluar kenyataan kata PAS tak bersalah, lepas itu saya tak ambil pusing dah,” katanya.
Beliau merujuk pada kenyataan SPRM yang mengatakan bahawa tiada wang sebanyak RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun bank rasmi PAS. Agensi anti rasuah itu kini melebarkan siasatannya dengan menyiasat akaun dan aset pemimpin parti serta individu dan badan yang ada kaitan dengan parti Islam itu.
Seorang lagi pengundi muda yang hanya mahu dikenali sebagai Bakhtiar, 32, berkata, beliau hanya mahu tunggu keputusan mahkamah.
“Susah saya nak kata salah ke tak salah jadi saya akan tunggu saja. Kalau mahkamah kata salah, kita pun tidak akan sokong (PAS),” katanya.
Bagi Nik, 39, jika benar pemimpin PAS melakukan kesalahan, elok saja mereka didakwa di mahkamah.
Namun pemilik bengkel motosikal itu hairan kerana sehingga sekarang SPRM masih belum membuat sebarang pendakwaan di mahkamah.
“Isu lebai makan duit dari dulu ada. Tapi kalau betul dakwa saja di mahkamah.” – 7 Mac, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan