PIHAK berkuasa Pulau Pinang tetap akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyalahguna skim perumahan awam yang dikhaskan untuk golongan miskin tegar di negeri itu, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata rumah yang dikenakan kadar sewa murah itu bukanlah percuma yang boleh diduduki oleh sesiapa sahaja.
Mereka yang menyewa rumah di bawah skim Projek Perumahan Rakyat (PPR) sepatutnya hanya boleh menyewa selama lima tahun, katanya.
“Kerajaan berharap dalam tempoh lima tahun, penyewa PPR akan memperbaiki status ekonomi dan pendapatan mereka supaya boleh menyewa rumah yang lebih baik atau membeli rumah sendiri.
“Unit PPR hanya untuk orang miskin tegar, tetapi mereka juga perlu membayar sewa RM100 sebulan dan yuran selenggara RM28. Unit PPR ini bukan rumah percuma,” kata Chow pada sidang media di Komtar hari ini.
Beliau mengulas tindakan sekumpulan penyewa Flat PPR Taman Manggis yang menghalang pengusiran mereka ini.
Pagi tadi, suasana kecoh tercetus di flat tersebut apabila pegawai Jabatan Perumahan muncul hari ini untuk memulakan proses pengusiran penghuni yang hilang kelayakan.
Ketika Chow sedang mengadakan sidang media, sekumpulan penyewa duduk berkumpul di luar bangunan Komtar sebagai tanda bantahan.
Chow adalah ahli Parlimen Tanjong, di mana flat PPR itu berada. – 6 Mac, 2019.
Komen