SUASANA kecoh tercetus di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis apabila pegawai Jabatan Perumahan muncul hari ini untuk memulakan proses pengusiran penghuni yang hilang kelayakan.
Seorang penduduk- warga Indonesia bertaraf penduduk tetap- ditahan polis selepas beliau cuba menghalang pegawai perumahan menjalankan tugas.
Sebelum ketibaan pegawai itu sekitar jam 10.30 pagi, hampir 40 orang penduduk yang dalam senarai pengusiran bersama-sama anak-anak mereka, berhimpun aman di kawasan bawah flat untuk “melindungi rumah mereka”.
“Di mana YB (wakil rakyat) yang kami undi? Kami bukan binatang,” jerit mereka.
“YB Chow (Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Tanjong Chow Kon Yeow) datang dan tolong kami. Jangan lari.”
Ada antara mereka yang mendesak supaya mereka terus dibenarkan menetap di situ atau diberikan pilihan rumah lain, ada juga yang meminta lebih banyak masa untuk mereka berpindah.
Januari lalu, pihak berkuasa negeri mengarahkan 22 penyewa berpindah keluar. Lapan daripada mereka menerima notis perpindahan hari ini.
Guru agama Abdul Latiff Mohd Yusof, 73, berkata beliau hanya memerlukan sedikit masa kerana rumah mampu milik dibeli anak perempuannya di SP Chelliah masih belum siap.
Katanya, beliau mengakui ada keluarga lebih miskin daripadanya yang lebih memerlukan unit PPR.
“Kami akan berpindah bila flat sudah siap. Kami dengar ia akan ambil masa setahun lagi.
“Tetapi, jika kami diusir hari ini, kami tiada tempat untuk pergi. Kami hanya perlukan sedikit masa. Saya sudah buat rayuan,” katanya kepada wartawan.
Latiff yang menetap di Taman Manggis lebih sedekad bersama-sama isteri dan anak perempuannya, diusir kerana Jabatan Perumahan mendapati isterinya memiliki sebuah rumah di Kampung Dodol.

Penyewa PPR hilang kelayakan menyewa unit rumah sewa murah disediakan kerajaan untuk kumpulan miskin tegar itu jika didapati mereka memiliki hartanah lain.
“Itu rumah pusaka yang anak lelaki dan keluarganya tinggal. Tidak ada bilik untuk kami, jadi kami tinggal di Taman Manggis.
“Tetapi kami bersedia pulangkan unit. Kami cuma tak bersedia sekarang kerana kami tidak ada tempat lain untuk tinggal.”
Protes bertukar dramatik apabila pegawai Jabatan Perumahan dikesan sampai di flat itu. Pegawai menjalankan tugas mereka membuka kunci unit PPR yang akan diambil balik itu.
Warga Indonesia yang ditahan polis sebelum itu menjerit memberitahu yang isterinya, warga Malaysia dan anak-anak mereka ada hak.
“Kami ada lapan anak, dan tujuh masih tinggal bersama saya dan empat masih sekolah,” kata Mohd Kadim Kutnan, 51, yang mempunyai anak-anak berusia 24 hingga empat tahun.
“Isteri saya suri rumah. Kami tak mampu menyewa di tempat lain. Kami mahu tinggal di sini.”
Keluarga Kadim hilang kelayakan kerana beliau bukan warganegara Malaysia. Keluarga bukan warganegara, termasuk salah seorang pasangan bukan warganegara tidak dibenarkan menduduki unit PPR.
Isterinya, Nazrimah Jamal Abidin, dalam usia 40-an, malah membuat rayuan mengharukan bertanya kepada pegawai sekiranya perlu untuknya menceraikan suaminya supaya beliau dan anak-anaknya dapat terus tinggal di Taman Manggis.
Penyewa lain yang turut marah juga mengecam kerajaan negeri, menjadikan Chow dan Exco Perumahan Jagdeep Singh Deo sebagai sasaran.
Ada antara mereka menuntut kedua-dua pemimpin itu berundur dan perubahan kerajaan dilakukan.
Turut hadir sepanjang kekecohan adalah penulis blog pro anti kerajaan Muhsin Abdul Lateef atau dikenali sebagai Mamu Parpu dan Presiden Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang Sophian Mohd Zin.
Muhsin menyiarkan bantahan penduduk dan kekecohan secara langsung di Facebook. Malah, pada satu ketika beliau turut merayu Presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah Ariffin Abu Bakar untuk menyokong rayuan penyewa.
“Exco Jagdeep, mana awak? Awak datang sini ke bercakap dengan rakyat?” kata Sophian pada siaran langsung Facebook itu.
Pada jam 11.30 pagi, beberapa anggota Pasukan Light Strike Force turut berada di tempat kejadian, walaupun tidak ada kejadian lebih buruk berlaku. – 6 Mac, 2019.
Komen