PENDUDUK di Taman Ukay Heights mendakwa pemaju yang diberi kontrak untuk membaiki longkang di kawasan ini menjalankan kerja pembersihan di lereng bukit yang menyebabkan banjir lumpur baru-baru ini.
Pada 11 November, hujan lebat menyebabkan banjir lumpur dan kerosakan harta benda di kawasan sekitar Jalan Ukay 2.
Banjir itu, yang merupakan kali pertama berlaku sejak pembangunan Ukay Height pada 1953, dipercayai berpunca daripada tanah yang peroi dan banjir lumpur yang menyebabkan rangkaian perparitan di kawasan itu tersumbat.
Susulan insiden itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan arahan untuk menghentikan semua kerja di kawasan itu.
Bagaimanapun, penduduk mendakwa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) baru-baru ini telah mengeluarkan perintah tiada halangan untuk pemaju membaiki longkang yang rosak.
Mereka mengatakan bahawa kontraktor itu tidak mengehadkan aktiviti mereka untuk membaiki longkang yang sedia ada, sebaliknya mereka menebang pokok dan tumbuhan lain di lereng bukit itu serta membuang timbunan tanah di kawasan berkenaan.
“Arahan hentikan kerja dikeluarkan oleh MPAJ dan masih berkuatkuasa. Kami tertanya-tanya mengapa JPS membiarkan pemaju melakukan kerja pembaikan longkang yang sepatutnya adalah tanggungjawab mereka. Dan jika hanya untuk membaiki longkang mengapa mereka melakukan semua kerja-kerja ini?” kata penduduk Chacko Vadaketh pada satu sidang media hari ini.

Terdapat kira-kira 16 keluarga yang tinggal di kawasan Ukay Heights 2.
Vadaketh mendakwa, penduduk telah menulis surat kepada JPS untuk mengadu dan menyuarakan bantahan mereka terhadap kerja berkenaan. Bagaimanapun masih belum ada maklum balas daripada pihak terbabit.
“Kami mahu JPS mengakui surat yang kami hantar sebelum Tahun Baharu Cina (28 Januari). Surat berkenaan dihantar melalui pos berdaftar dan emel,” kata seorang lagi penduduk Marguerite Brodie.
“Apa yang membimbangkan kami adalah pemaju datang dari jalan belakang dan memotong semua pokok dan sejak itu kami mengalami situasi ribut yang belum pernah berlaku.
“Kami tidak nampak pengawasan daripada MPAJ dan JPS.
“Kontraktor tidak tanam semula pokok dan hanya mengambil langkah meletakkan saliran sementara,” katanya.
Penduduk mengatakan projek itu akan terus berpotensi untuk mendatangkan masalah keselamatan serta kerosakan kepada harta benda di kejiranan itu keseluruhannya.
Katanya mereka, Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar tidak ernah diberikan dan pemilik kediaman tidak dimaklumkan mengenai pembangunan atau mendapatkan maklum balas daripada penduduk sebelum menjalankan kerja-kerja itu. – 4 Mac, 2019
Komen