Penduduk bimbang projek pembersihan di cerun bukit


Christopher Rabin

Papan tanda yang menunjukkan kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan bagi menstabilkan cerun dan membaiki parit monsun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 November, 2018.

PENDUDUK di Jalan Tebrau, Ukay Height menyuarakan kebimbangan risiko berlakunya kejadian tanah tunuh susulan kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut walaupun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan arahan agar projek itu dihentikan.

Penduduk terlibat V. C. George berkata projek itu dilihat lebih banyak mengundang bahaya berbanding kebaikan walaupun ia bertujuan untuk menstabilkan cerun dan membaiki parit monsun.

“Satu papan tanda diletakkan dengan fail rujukan tertera padanya. Ia memberi gambaran kepada kita bahawa pihak berkuasa (MPAJ) menjalankan projek ini,” kata George ketika menghadiri mesyuarat bersama penduduk untuk membincangkan isu tersebut.

Papan tanda itu memaklumkan penduduk bahawa kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan bagi menstabilkan cerun dan membaiki parit monsun, tetapi bagi George, tiada keperluan untuk melaksanakan projek itu.

“Kita tidak melihat keperluan untuk menstabilkan semula cerun semula jadi kawasan itu tetapi mereka menebang pokok dan tumbuhan lain di lereng bukit itu,” katanya.

Katanya tindakan membuang pokok renek berisiko mencetuskan kejadian tanah runtuh memandangkan tumbunan itu mampu mengawal pergerakan air di kawasan cerun.

“Projek itu membimbangkan kita terhadap pertambahan air pada tanah dan memudahkan berlakunya tanah runtuh,” katanya.

Katanya kira-kira 50,000 tan tanah dan batu telah diletakkan di kawasan lereng bukit itu sejak tiga minggu lalu.

Seorang lagi penduduk Karim Abdullah berkata pergerakan lori tanah di kawasan penduduk merosakkan jalan dan gegaran pergerakan turut menyebabkan pokok tumbang.

Ia boleh menyebabkan pokok tumbang di kawasan rumah atau jalan, melainkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

“Disebabkan aktiviti lori tanah membawa tanah bertan-tan, seluruh jalan kini menerima kesan dan pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkan hakisan,” katanya.

Penduduk telah menetapkan pertemuan dengan pihak MPAJ pada 7 November untuk membincangkan isu itu dengan lebih lanjut.

The Malaysian Insight juga mendapatkan komen daripada MPAJ berhubung perkara itu.

Ahli Majlis MPAJ Nallan Dhanabalan berkata arahan menghentikan kerja telah dikeluarkan pada 31 Oktober, bagi tempoh 14 hari.

“Mereka perlu mematuhi arahan itu dengan memperbaiki gangguan trafik, isu teknikal yang dibangkitkan MPAJ dan membetulkan salah faham berhubung kaitan projek itu dengan MPAJ,” katanya.  – 1 November, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen