Kerjasama PAS-Umno tumbangkan Pakatan selepas PRU14


Chan Kok Leong Sheridan Mahavera Noor Azam Shairi

Kemenangan Adun Semenyih Zakaria Hanafi (tengah) diraikan penyokong Barisan Nasional dan PAS malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Mac, 2019.

SEJAK mula lagi, strategi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih mudah saja.

Ia perlu mengekalkan undi yang diperolehinya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan mendapatkan undi daripada pengundi PAS.

Selebihnya, BN berharap pengundi bukan Melayu tidak banyak yang keluar mengundi.

Itulah hasilnya semalam. BN menang 18 daripada 24 pusat daerah mengundi (PDM). Pada PRU14, BN hanya menang 11 PDM.

Di Kantan Permai misalnya, BN menokok undi sekali ganda daripada 1,052 kepada 2,106 undi. Ia mendapat 1,026 undi yang PAS perolehi semasa PRU14.

Pakatan Harapan (PH) gagal mengekalkan 2,564 undi yang dimenanginya tahun lalu. Pada PRK semalam, PH hanya mendapat 1,622 di kawasan itu, merosot lebih 1,000 undi.

Begitu jugalah keadaan di PDM Bandar Tasik Kesuma, yang menyaksikan BN meraih 1,737 undi selepas dapat 614 undi daripada PAS. Pada PRU14, BN hanya mendapat 1,102 undi.

Keadaan sama juga boleh dilihat di PDM Bukit Mahkota, Beranang dan Semenyih, apabila undi PAS dan BN pada PRU14, jika dijumlahkan, hampir menyamai jumlah undi BN dalam PRK semalam.

Namun PDM Semenyih Barat adalah yang paling teruk bagi PH. Di situ, undi PAS sebelum ini bukan saja berpindah ke BN, pengundi yang dulunya mengundi PH pun semalam beralih memilih pembangkang.

Semasa PRU14, PH dapat 2,386 undi di PDM itu. Semalam, ia hanya mampu dapat 1,102 undi. BN yang setahun lalu dapat 892 undi, semalam dapat lebih daripada tambahan 331 undi daripada PAS, apabila mengumpulkan 1,671 undi.

Kaji selidik Ilham Centre yang dikeluarkan sehari sebelum pengundian di Semenyih meramalkan 84% pengundi PAS akan menyokong BN.

Ini adalah kali pertama PH kalah kerusi yang dimenanginya dalam PRU14 selepas enam PRK sejak pilihan raya umum Mei tahun lalu.

Sebelum DUN Semenyih, BN mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Pensyarah sosio budaya dan politik Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaysia berkata, kerjasama PAS dan Umno terbukti berkesan dalam PRK semalam.

Kerjasama itu tidak terjejas walaupun cuba dipecahkan oleh PH, termasuk menggunakan isu dakwaan RM90 juta duit yang dikatakan dana politik daripada Umno kepada PAS, katanya.

Najib Razak menyampaikan ucapan tahniah kepada Adun Semenyih Zakaria Hanafi selepas keputusan PRK Semenyih diumumkan malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Mac, 2019.

“Penyokong PAS sanggup memakai baju BN dalam berkempen untuk menunjukkan mereka sanggup bersatu hati untuk menentang musuh yang sama iaitu PH,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Isu-isu berkaitan Melayu Islam menimbulkan rasa solidariti dalam kalangan pengundi untuk menerima naratif bahawa Melayu-Islam mesti lebih bersatu agar kepentingan mereka tidak terjejas setelah PH jadi kerajaan, tambah beliau.

Awang Azman merujuk pada kenyataan pemimpin PH mengenai jumlah penjawat awam, cadangan meratifikasi konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia (ICERD), cara kerajaan menangani rusuhan di kuil Hindu di Subang Jaya serta potongan peruntukan untuk Melayu di luar bandar.

“Ini amaran kepada PH untuk menunaikan janji pilihan raya dan jangan dipersepsikan sebagai mengabaikan kepentingan Melayu dan Islam,” katanya.

Beliau juga melihat kekalahan PH di Semenyih semalam menunjukkan kejatuhan BN dalam PRU14 adalah satu kemenangan rakyat.

“Maknanya kuasa kembali kepada rakyat.  Mana-mana parti yang jadi kerajaan perlu dilihat menjadi hamba rakyat dan bukannya dilihat berhidung tinggi,” jelasnya.

BN menang atau PH kalah?

Tetapi ada berita baik untuk PH, kata penganalisis politik Kamarul Bahrin Zahid dari Institut Darul Ehsan (IDE).

Analisis awal keputusan di Semenyih malam tadi, katanya, menunjukkan BN dan PAS tidak banyak menambah tahap sokongan kepada mereka kerana jumlah sokongan itu hampir sama seperti PRU14.

Walaupun PH mengekalkan kemenangan di enam PDM, tiga daripada kawasan majoriti pengundi Cina itu bilangan pengundinya yang keluar mengundi sangat rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2019.

Isu ini mustahak untuk difahami, katanya, kerana sepanjang dua minggu tempoh kempen, BN dan PAS mengulang-ulang naratif bahawa pengundi Melayu sudah menyesal memilih PH dalam PRU14.

BN dan PAS mendakwa pengundi yang menyesal itu akan turun dan tidak mengundi PH.

“Saya tidak nampak naratif itu berlaku seperti yang dicanang. BN menang kerana ia berjaya dapat 100% penyokongnya sebelum ini serta ditokok dengan sebahagian besar penyokong PAS.

“Pakatan hanya dapat tiga perempat daripada pengundi mereka untuk keluar mengundi,” kata Kamarul.

“PH gagal raih pengundi Melayu yang sebelum ini menyokongnya. Ini menyebabkan PH kalah.”

Pengundi bukan Melayu tidak mengundi

Walaupun PH mengekalkan kemenangan di enam PDM, tiga daripada kawasan majoriti pengundi Cina itu bilangan pengundinya yang keluar mengundi sangat rendah.

Di PDM Tarun yang mempunyai 99% pengundi bukan Melayu, perbezaan undinya hanya 34 manakala di PDM Kampung Baru Semenyih (89%) dan PDM Pekan Semenyih (57%) lebih ketara, masing-masing 450 dan 290 undi.

Begitu jugalah keadaannya dalam tiga PRK lain di Selangor iaitu Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia, bilangan pengundi Cina yang keluar mengundi juga rendah.

Seorang lagi penganalisis IDE Khairul Ariffin sebelum ini mengingatkan jumlah pengundi Cina yang rendah itu mungkin kerana jarak masa yang dekat dengan PRU14 yang lalu.

Tetapi apa pun alasannya, ini kali pertama kerjasama PAS-Umno menjadi di kawasan pinggiran bandar.

Kerjasama ini dijangka akan berterusan dalam PRK yang akan datang di Rantau, Negeri Sembilan. – 3 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen