BARISAN Nasional (BN) boleh mengalahkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih esok terutamanya atas sentimen dan faktor pengundi Melayu, kata badan penyelidik bebas Ilham Centre.
Kajian Ilham Centre mendapati PH bergelut untuk mempertahankan undi pengundi Melayu seperti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), selain beberapa faktor lain yang juga tidak memihak padanya, kata Pengarah Eksekutifnya Azlan Zainal.
“PH sekarang ini memerlukan formula ajaib iaitu peratus keluar mengundi dan aras sokongan pengundi kekal sebagaimana PRU14 yang lalu.
“Sekiranya perkara ini tidak berlaku, BN mampu menang tipis di Semenyih,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Kawasan DUN Semenyih mempunyai 68% pengundi Melayu, yang juga membentuk majoriti pengundi di 17 daripada keseluruhan 21 pusat daerah mengundinya.
Kajian Ilham Centre ini dibuat secara tatap muka antara 26 hingga 28 Februari lalu, melibatkan 378 responden meliputi segenap lapisan latar belakang pengundi dari segi kaum, jantina dan umur. Badan itu menyifatkan ralat kajiannya ialah 2.15%.
Dalam kajiannya, badan itu menggariskan lima faktor penentu sokongan pengundi daripada strategi kempen parti, pemilihan calon sehinggalah kepada isu-isu yang jadi perhatian pengundi.
Ilham Centre merumuskan kempen PH tidak disokong oleh jentera yang berkesan manakala calon pilihan parti itu juga dilihat tidak berwibawa.
Calon PH Muhamad Aiman Zainali, 30, dari Bersatu tidak mempunyai aura yang cukup untuk diangkat sebagai calon parti kerajaan di Semenyih, kata Ilham Centre.
“Segala usaha yang dilakukan oleh Aiman Zainali ini kelihatan tidak serba tidak menjadi dan menyebabkan peralihan perhatian menyebelahi calon BN Zakaria Hanafi.
“Kematangan calon menjadi kayu ukur penilaian pengundi,” kata Azlan.

Zakaria, 58, adalah pemimpin akar umbi Umno yang dianggap berpengaruh dalam beberapa kelompok masyarakat setempat.
Ilham Centre juga merumuskan fokus pilihan raya kali ini bertumpu pada dua calon BN dan PH, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas Kuan Chee Heng, seorang aktivis sosial, tidak menyerlah.
BN juga bersemangat tinggi untuk menang selepas berjaya dalam PRK Parlimen Cameron Highlands, akhir Januari lalu, kata Azlan.
Mengenai pengundi PAS, Ilham Centre berpendapat walaupun parti Islam itu memberikan mesej yang mengelirukan tentang kerjasamanya dengan Umno, kajian lapangan itu mendapati 84% pengundi PAS semasa PRU14 sedia mengundi BN esok.
Kajian itu juga mendapati pengundi lebih tertarik dengan isu nasional (73.3%) berbanding isu tempatan (26.7%).
Majoriti responden kajian itu merasakan PH gagal menunaikan janji manifesto dan kerajaan juga gagal membelas Melayu-Islam sejak menang Putrajaya hampir 10 bulan lalu.
Menurut Azlan, PH menang kerusi DUN Semenyih pada PRU14 kerana peralihan pengundi Melayu kelas menengah di kawasan bandar dan separa bandar, selain faktor penolakan rakyat kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan kelemahan kerajaan BN.
Namun, BN akan meraih undi pengundi Melayu setelah memainkan isu kelemahan kerajaan PH serta sentimen kegagalannya membela kepentingan Melayu-Islam, kata beliau.
BN juga dijangka mendapat peralihan sokongan Melayu berdasarkan sambutan kelompok itu terhadap Najib, yang hampir setiap hari berkempen di Semenyih sejak penamaan calon pada 16 Februari lalu.
“Gerakan bersendiri Najib Razak di dalam kempen di Semenyih menjadi nilai tambah dan pelengkap kepada BN secara tidak langsung malah boleh dikatakan kempen ini cukup signifikan untuk membantu BN (di Semenyih),” kata kajian itu. – 1 Mac, 2019.
Komen