ANWAR Ibrahim pemimpin yang tidak tahu mengenang budi, kata pemimpin PAS, selepas presiden PKR itu mendedahkan kes saman Abdul Hadi Awang dan Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown diselesaikan di luar mahkamah dengan bayaran.
Mereka merujuk kepada sokongan parti Islam itu kepada Anwar ketika beliau berdepan tuduhan meliwat dahulu.
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Salamiah Mohd Nor berkata Anwar nampak sangat terdesak apabila membuat pendedahan mengenai parti Islam itu.
Katanya, Anwar tidak kenang jasa PAS yang pada suatu masa dahulu mempertahankan beliau dan tidak percaya pemimpin PKR itu terlibat dalam kes liwat.
“PAS sebenarnya boleh bangkitkan semula isu keperibadian Anwar. Kita boleh pertikaikan balik ketika beliau dituduh sebagai peliwat, tapi PAS tidak percaya tuduhan tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Rabu lalu, semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Anwar berkata beliau ada dokumen urus niaga bank yang menunjukkan PAS membayar RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report sebagai penyelesaian kes saman Hadi di luar mahkamah di London.
Hadi memfailkan saman ke atas Rewcastle-Brown berhubung tulisannya di Sarawak Report pada 2016 mendakwa pemimpin PAS menerima RM90 juta daripada Umno, yang terkait dengan dana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Awal pagi Jumaat, pengarang Sarawak Report itu mengesahkan beliau menerima bayaran RM1.4 juta sebagai kos atas persetujuan menyelesaikan kes saman di luar mahkamah. Beliau turut mendedahkan dokumen pembayaran tersebut iaitu sekeping cek dan surat penyelesaian.
Butir-butir perjanjian penyelesaian itu sebelum ini dirahsiakan bersama, namun Rewcastle-Brown menjelaskan beliau terpaksa mendedahkannya setelah pemimpin PAS membuat beberapa kenyataan yang mengelirukan tentang penyelesaian kes itu.
Naib Presiden PAS Iskandar Abdul Samad mendakwa tindakan Anwar membuat pendedahan itu lebih kepada dendam kerana rancangan politiknya gagal apabila parti Islam itu memutuskan menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
“Sebenarnya saya malas nak layan beliau (Anwar.)
“Dia marah pada PAS sebab PAS tak mahu sokong dia jadi perdana menteri tapi sokong Tun Mahathir. Itu sahaja sebabnya,” kata Iskandar ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Terengganu Kamaruzzaman Abdullah menolak pandangan akar umbi PAS berpecah kerana pendedahan terbaru minggu ini.
Katanya, jika ada akar umbi yang mempersoalkan tentang pembayaran RM1.4 juta itu ia bukan bermaksud mereka tidak percaya kepada PAS, sebaliknya mereka hanya mahu tahu letak duduk perkara yang sebenar.
“Memang betul akar umbi ada persoalan sebab mereka sayang pada parti. Kita diajar siapa buat salah takkan biarkan… jadi banyak soalan dibangkitkan bukan sebab (akar umbi) tak percaya tapi mereka cuma mahukan kepastian,” katanya.
Kamaruzzaman bagaimanapun berkata akar umbi PAS cukup kecewa dengan tindakan Anwar yang dianggap tidak bermoral kerana cuba menyerang parti Islam itu dengan pendedahannya mengenai penyelesaian kes saman di London.
Beliau percaya pemimpin PAS mempunyai persediaan menjelaskan kepada akar umbi untuk menangkis segala dakwaan dan serangan akar umbi.
“Apa yang pasti kita nampak Anwar betul berdendam dengan presiden dan parti PAS,” katanya.
Sejak pembayaran itu disahkan oleh Sarawak Report dan disokong oleh peguamnya, pemimpin dan penyokong PAS mendakwa bayaran itu bukan dibuat oleh PAS atau pemimpin PAS tetapi oleh pihak ketiga yang mahu kes saman di London itu diselesaikan.

Pada Jumaat, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mempertahankan bahawa akaun bank yang diguna untuk membayar RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report bukan akaun palsu, seperti didakwa penyokong dan pemimpin PAS.
Akaun bank itu sebaliknya atas nama “Rameli Musa”.
Hari ini, Rafizi dalam satu kenyataan berkata Rameli, seorang tokoh korporat, adalah kenalan rapat Hadi dan bukannya Anwar, walaupun mereka berdua sama-sama bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar dulu.
Isu sumbangan RM90 juta yang didakwa daripada Umno dan ada kaitan dengan duit 1MDB itu kini dalam siasatan agensi anti rasuah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil empat pemimpin PAS untuk diambil keterangan. Ia juga membekukan lima akaun bank dan menyita tiga kenderaan mewah bagi membantu siasatan.
Siasatan SPRM setakat ini mendapati wang RM90 juta itu “dibersihkan” dengan memindahkannya dari satu akaun ke satu akaun lain, melibatkan beberapa akaun, sama seperti taktik dalam pengubahan wang haram. – 3 Mac, 2019.
Komen