Rafizi jawab tohmahan PAS tentang PKR dan Rameli Musa


Naib presiden PKR Rafizi Ramli turut mempertahankan akaun bank yang diguna untuk membayar RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report bukan akaun palsu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2019

TOKOH korporat yang membantu menyelesaikan kes mahkamah Abdul Hadi Awang di London tidak ada kaitan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebaliknya adalah kenalan presiden PAS itu, kata Rafizi Ramli.

Naib presiden PKR itu berkata Rameli Musa, ahli perniagaan yang dikatakan membayar RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, lebih rapat dengan Hadi berbanding Anwar.

“Memang Dato’ Seri Rameli Musa ini belajar di MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar) dulu dan pernah berada di dalam Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia).

“Ia tidak ubah seperti saya orang Terengganu (seperti mana Dato’ Seri Hadi Awang orang Terengganu) dan Hadi Awang sendiri pernah menjadi pimpinan ABIM Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan panjang di Facebook.

Semalam, Rafizi mempertahankan akaun bank yang diguna untuk membayar RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report bukan akaun palsu, seperti didakwa penyokong dan pemimpin PAS, sebaliknya akaun atas nama “Rameli Musa”.

Dalam kenyataannya hari ini, Rafizi menarik perhatian hubungan baik Hadi dan Rameli masih tidak disangkal, selepas timbul berita mengenai bayaran RM1.4 juta itu.

“Tidak ada salahnya Dato’ Seri Rameli Musa rapat dengan Dato’ Seri Hadi Awang. Saya juga tidak terkejut beliau (Rameli) sanggup membayar RM1.4 juta untuk menyelamatkan maruah rakan karibnya itu. Ia satu tindakan terpuji.

“Yang salahnya ialah bila PAS berlaku tidak jujur dengan cuba memutar belit demi modal politik. Salah apabila pimpinan PAS tidak membetulkan penyokong wala’ di bawah yang menabur pelbagai fitnah terhadap Dato’ Seri Rameli Musa, sedangkan tokoh perniagaan itu begitu banyak membantu kewangan PAS selama ini,” kata Rafizi.

Rafizi turut memuat naik sekeping gambar Hadi bersama Rameli mengiringi kenyataannya itu.

Rameli, bekas naib pengerusi Ingress Corp Bhd dan pengerusi Balfour Beatty Rail, pada Februari lalu dilantik sebagai pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd.

Rameli juga pernah menganggotai lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan selama beberapa tahun semasa Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi menteri besar.

Hadi dan Rameli juga pernah dirakamkan bersama dalam satu lawatan presiden PAS itu ke Bangkok, Thailand pada 2017, dan diulas dalam satu tulisan oleh blogger politik Mohd Sayuti Omar.

Menurut Rafizi, selama jadi pemimpin kanan PKR sejak 2010, beliau tahu bahawa Rameli tidak pernah terlibat dengan parti itu atau jadi penyokong kuat Anwar.

“Secara umumnya, kami kenali beliau dari jauh dan hormati beliau sebagai penyokong PAS yang ada perniagaan besar,” katanya, merujuk Rameli sebagai bekas aktivis ABIM dan ahli perniagaan yang menyokong gagasan kerajaan perpaduan Umno-PAS sejak 2008. – 2 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen