Solidariti kehilangan Pastor Koh dan 3 individu lain esok


Melati A. Jalil

Perhimpunan esok pada jam 8.30 malam di Dataran Merdeka diketuai Suaram, sebagai solidariti dengan empat keluarga individu yang hilang. Ia sebelum ini pernah diadakan di Johor Bahru. – Gambar Facebook, 7 April, 2017.

PASTOR Joshua Hilmy dan isteri, Ruth; Pastor Raymond Koh; dan Amri Che Mat mempunyai satu persamaan – mereka pekerja agama yang membantu golongan miskin dan memerlukan.

Persamaan lain antara empat individu ini lebih dahsyat – mereka semua hilang tanpa dapat dikesan.

Individu pertama yang hilang adalah Amri pada 24 November tahun lepas, diikuti Hilmy dan isteri beberapa hari kemudian pada 30 November dan Koh pada 13 Februari tahun ini.

Kehilangan mereka menimbulkan kebimbangan di kalangan keluarga, masyarakat awam dan badan agama, yang mahu jawapan daripada pihak berkuasa.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram), sebuah kumpulan sivil yang ditubuhkan untuk memantau dan menyokong hak asasi manusia di Malaysia, kini mengetuai mencari jawapan kepada kehilangan empat individu itu.

Suaram akan mengetuai beberapa kumpulan masyarakat sivil lain mengadakan perhimpunan pada Sabtu jam 8.30 malam di Dataran Merdeka untuk solidariti dengan keluarga mangsa.

Acara itu, “Di Mana Mereka?”, juga untuk meningkatkan kesedaran mengenai tiga kes ini.

“Ia adalah inisiatif CSO, (kami) sangat mengambil berat tentang kehilangan mereka. Ia adalah satu isu yang serius dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja jika ia tidak dihentikan… pihak berkuasa perlu mengambil tindakan,” kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy, sambil menambah kejadian ini boleh menetapkan duluan.

Satu lagi jurucakap perhimpunan itu, Thomas Fann berkata kepada The Malaysian Insight, mereka mahu menunjukkan solidariti dengan ahli keluarga.

“Sebahagian daripada mereka hilang sehingga lima bulan tanpa berita mahupun sebarang penemuan oleh polis dalam siasatan mereka,” kata Fann, aktivis sosial dan pengerusi Engage.

“Mereka bukan orang kaya dan kemungkinan diculik untuk mendapatkan wang tebusan jauh sekali. Kami mahu menonjolkan masalah mereka dan menyatakan kebimbangan kami kepada pihak polis tentang kerisauan dan keselamatan kita sebagai warganegara. Bolehkah polis melindungi kita?”

Beliau berkata satu persamaan dimiliki keempat-empat mereka adalah komitmen membantu pihak yang memerlukan.

“Penculikan Pastor Koh dan Amri disahkan dengan laporan polis yang dibuat serta liputan media. Penculikan Amri hampir sama dengan, Pastor Koh, konvoi SUV, dan lain-lain. Kehilangan Hilmy dan Rut dilaporkan seorang rakan kepada polis bulan lalu.

Fann menambah mereka akan terus mendesak pihak berkuasa menyelesaikan kes ini.

Berikut adalah butiran mengenai kehilangan mereka:

* Pastor Raymond Koh

Berusia 62 tahun, diculik selepas sekumpulan lelaki terlatih berhenti menahan kereta Honda Accord perak beliau di Jalan SS4B/10 di Petaling Jaya.

Rakaman CCTV penculikan Koh viral di media sosial, menunjukkan ia dilakukan penculik profesional yang melibatkan lebih 10 lelaki dalam tiga SUV hitam.

Polis sebelum ini menahan Lam Chang Nam, 31, yang kemudiannya didakwa memeras ugut anak Koh, Jonathan. Tetapi polis berkata beliau tidak terlibat dalam penculikan Koh.

Tiada sebarang permintaan wang tebusan dibuat bagi pembebasan Koh. Keluarganya menawarkan ganjaran RM100,000 untuk maklumat mengenai di mana beliau berada.

Media tempatan melaporkan Koh dan NGO beliau, Haparan Komuniti, dituduh memurtadkan umat Islam, berikutan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada majlis makan malam kesyukuran pada 2011.

Kumpulan gereja menghimpunkan seluruh keluarga Koh sebagai tanda sokongan.

* Pastor Joshua Hilmy

Kehilangan Hilmy pertama kali disiarkan dalam laman web Australia, xyz.net.au, pada 23 Februari, 10 hari selepas penculikan Koh.

Dilaporkan pastor berketurunan Melayu itu hilang pada 30 November 2016.

Artikel itu menyatakan Hilmy menerima ancaman telefon sebelum kehilangannya. Ia berkata kereta Hilmy turut hilang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd Zani Che Din memberitahu akhbar TheSun yang polis tidak mempunyai maklumat mencukupi mengenai latar belakang Hilmy dan isterinya Ruth, yang dipercayai juga hilang.

Polis, bagaimanapun, mengesahkan satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki yang mengaku kawan rapat Hilmy dan isterinya pada 6 Mac.

Zaini memberitahu TheSun, laporan itu dibuat di Klang tetapi kes itu dirujuk kepada polis Petaling Jaya, pengadu berkata kedua-dua yang hilang tinggal di Kampung Tunku, Petaling Jaya. Kes itu diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang.

* Amri Che Mat

Kes Amri diketahui semula selepas Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan sidang akhbar pada 23 Mac, mendedahkan kehilangan aktivis sosial berusia 43 tahun dari Perlis.

Amri, yang merupakan sebahagian daripada pasukan ekspedisi mendaki Gunung Everest 1997, hilang pada malam 24 November 2016, selepas dilaporkan memberitahu anak perempuan sulungnya, beliau keluar.

Isterinya, Norhayati Ariffin, 43, yang membuat laporan polis pada hari berikutnya, berkata terdapat kereta dan motorsikal diletakkan berhampiran rumah mereka semasa suaminya meninggalkan rumah. Kenderaan itu memadamkan lampunya walaupun terdapat orang di dalamnya.

Kereta Amri ditemui kira-kira 20km dari rumahnya, berhampiran sekolah sukan terbengkalai. Norhayati berkata suaminya tidak menerima sebarang panggilan ancaman dan tiada urus niaga tidak normal dalam akaun banknya. – 7 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Are those people actively trying yo convert muslims in this country to christianity?

    Dimuat naik 9 tahun yang lalu oleh Aris Penampar · Ulasan