KENYATAAN Nazri Aziz kepada pengundi di Semenyih hujung minggu lalu adalah mengejutkan, kata pengkritik.
“Ucapan Nazri di Semenyih sangat mengejutkan dan tidak dapat diterima, dan saya menganggap tidak setuju dengan banyak pernyataannya tetapi saya tidak pernah fikir beliau rasis,” kata aktivis terkenal Ambiga Sreenevasan.
“Jadi ini hanyalah politik yang sangat teruk,” kata bekas presiden badan peguam itu.
Dalam sesi ceramah di Beranang, Semenyih Sabtu lalu, Nazri dilaporkan menuduh kerajaan Pakatan Harapan lemah dan menyerahkan hak orang Melayu kepada kaum lain. Beliau kini disiasat kerana menghasut.
Ambiga yang juga bekas pengerusi Bersih 2.0 berkata, penjelasan Nazri bahawa beliau hanya menyuarakan sentimen masyarakat Melayu sama sekali tidak dapat diterima.
“Sekiranya benar ia adalah sentimen, maka adalah kewajipan Nazri sebagai ahli Parlimen untuk memperbetulkan persepsi yang salah dan tidak memainkannya. Pembangkang perlu membuat keputusan: adakah mereka berminat memupuk perpaduan atau mewujudkan perpecahan?”
Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, Nazri adalah “bersifat perkauman dan fitnah” dalam kenyataannya mengenai kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, dengan menyebut bahawa terdapat ketidakadilan kerana Peguam Negara Tommy Thomas bersimpati dengan suspek kerana mereka adalah dari kaum yang sama.
“Kita hanya boleh membuat kesimpulan bahawa Nazri tidak tahu tentang undang-undang tetapi berniat jahat dalam menyemai perselisihan di kalangan rakyat Malaysia ketika dia menyebut kenyataan perkauman itu,” kata Fann kepada The Malaysian Insight
“Sangat dikesali bahawa ahli politik seperti beliau akan menggunakan kata-kata kebencian untuk memenangi undi. Dakwaannya bahawa beliau hanya menyampaikan kebimbangan rakyat adalah pengecut dan tidak jujur dan jika alasan itu dapat diterima maka semua ucapan kebencian semata-mata menunjukkan apa yang segelintir rakyat rasakan.”
Lawyer for Liberty sebelum ini menbidas dakwaan Nazri bahawa orang Melayu tidak mahu bukan Melayu memegang jawatan peguam negara.
“Walaupun mendakwa sebagai juara Melayu, Nazri dan Umno sebenarnya memfitnah orang Melayu dengan menggambarkan mereka sebagai tidak bertoleransi dan perkauman,” kata pengarah eksekutif LFL, Latheefa Koya, menyifatkan kenyataan bekas menteri undang-undang itu sebagai “penghinaan yang melampau” kepada semua orang Melayu.
“Ia adalah cara murahan dan bahaya untuk meraih kedudukan politik dalam pilihan raya kecil Semenyih,” katanya.
Nazri disoal siasat oleh polis semalam dan hari ini Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata ahli Parlimen Padang Rengas itu disiasat di bawah Akta Hasutan.
Dalam ucapannya pada Sabtu lalu, Nazri berkata kerajaan Pakatan Harapan “menyerahkan” hak orang Melayu kepada kaum lain.
Beliau mengaitkan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dengan isu perkauman, dan bertanya kenapa empat lelaki yang ditahan berhubung kejadian dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya itu dibebaskan.
Adakah kerana warna kulit mereka sama dengan peguam negara, tanya Nazri.
Pemimpin DAP yang juga bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata pandangan Nazri itu tidak mengejutkan, dan menyatakan keraguan beberapa pemimpin Pakatan Harapan untuk meletakkan undang-undang anti-diskriminasi sebagai punca kenyataan itu berterusan digunakan untuk kepentingan politik.
“Perbezaan antara Nazri dan pemimpin PH hanya pembentangan. Kebanyakan pemimpin Melayu bimbang melakukan perkara yang betul; kerana takut kehilagan undi. Orang Melayu dipergunakan setiap masa,” kata Zaid.
“Sekiranya pemimpin PH berbeza dengan Nazri, mengapa tidak ratifikasikan Icerd, apabila kita telah katakan kepada dunia yang kita akan buat,” katanya merujuk kepada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).
Pada Isnin, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Razali Ismail berkata, Putrajaya perlu melihat semula berhubung ratifikasi konvesyen anti diskriminasi agar “pandangan kuno”, seperti apa yang dibuat oleh Nazri, boleh dihentikan.
Beliau menambah bahawa kenyataan perkauman itu bertujuan untuk menimbulkan rasa tidak puas hati untuk memenangi undi pada pilihan raya kecil Semenyih. – 26 Februari, 2019
Komen