Beri ceramah berbaur hasutan, KPN sahkan Nazri Aziz disiasat


Nazri Aziz disiasat kerana memberikan ucapan berbaur hasutan semasa ceramah kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2019.

BUKIT Aman menyiasat Nazri Aziz kerana memberikan ucapan berbaur hasutan semasa ceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, kata Mohamad Fuzi Harun.

Ketua polis negara berkata, setiausaha agung Barisan Nasional (BN) itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Di bawah akta itu, pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 

“Kami akan menyelesaikan kertas siasatan kami secepat mungkin dan akan serahkannya kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Unit Rizab Persekutuan.

Fuzi berkata, setakat ini polis menerima satu laporan polis tentang Nazri.

Semalam Ahli Parlimen Padang Rengas disiasat polis atas ucapan kontroversinya dalam satu ceramah di Beranang, Semenyih di mana beliau mengkritik kerajaan Pakatan Harapan mengenai pelantikan bukan Melayu sebagai ketua hakim, peguam negara dan menteri kewangan.

Beliau memberitahu pada sidang akhbar di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur semalam yang kenyataannya direkod oleh polis.

“Saya dipanggil oleh polis dan saya sudah berikan keterangan.

“Saya hanya bercakap (di ceramah) tentang apa yang dibicarakan oleh akar umbi orang Melayu,” katanya. – 26 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen